Macam mana orang berkerja boleh kekalkan motivasi untuk membina badan mahupun menjadi lebih kurus melalui latihan pembakaran lemak yang berkesan? Dah lah sibuk dengan kerja dan kehidupan rumah tangga, ada masa kah untuk buat senaman-senaman di gym? Kena berdiet lagi, semuanya nampak rumit, bukan?

Kalau anda ada rasa begitu, anda kena gunakan tip-tip ini bagi memudahkan proses perjalanan kehidupan dalam dunia kecergasan. Matlamat fitness pun dapat, kerja pun tak tergadai!

1- Masak Bukan Untuk Sekali Makan

Belajar untuk siapkan makanan yang boleh disimpan dan dipanaskan semula untuk beberapa kali makan. Kalau anda kreatif, anda boleh siapkan makanan dan masukkan ke dalam peti ais untuk dimakan sampai 4-5 hari terus! Ini dipanggil meal prepping. Kerja anda akan lebih mudah, sebab biasanya orang akan meal prep pada hari Ahad untuk kegunaan sepanjang hari berkerja (Isnin sampai Jumaat). Balik kerja, buka peti ais, panaskan dan makan!

2- Jangan Terlalu Kreatif

Kalau anda nak pelbagai jenis resepi semasa fasa cutting anda, percayalah anda tidak akan tahan lama. Memang nampak sedap sebab ada macam-macam jenis makanan yang boleh dimakan. Kalau dah macam-macam, nak siapkan makanan pun macam-macam barang juga. Masa yang diperlukan lagi, memang meletihkan. Latih diri anda untuk makan makanan yang serupa sahaja. Senang untuk kira, senang untuk siapkan. Meal prep makanan yang mudah sahaja, tak perlu kreatif sangat.

3- Banyakkan Berjalan Di Tempat Kerja

Tempat kerja anda ada lif? Cuba gunakan tangga. Tempat anda tiada lif? Teruskan guna tangga. Itu antara teknik yang sangat mudah untuk kekal kurus, sihat, dan cergas. Penggunaan tangga dapat membantu anda untuk membakar lebihan kalori sekali gus memudahkan proses pembakaran lemak. Bukan setakat tangga sahaja, kalau tempat makan dekat pun, ajaklah rakan-rakan untuk berjalan sama-sama pergi makan. Pejabat kecil tak perlu berjalan jauh? Kemas-kemaskan persekitaran, menyapu, mop, bersihkan tingkap kalau ada, angkat barang-barang yang berselerak. Nak kurus mudah sahaja, rajinkan diri untuk menjadi lebih aktif.