4 Sebab Mengapa Berat Susah Turun

Mereka yang sedang atau pernah melalui proses menurunkan berat badan pasti memahami bahawa proses tersebut bukanlah mudah. Tambahan pula apabila usaha tersebut tidak membuahkan hasil. Mungkinkah ianya disebabkan oleh beberapa faktor yang mempengaruhi pengambilan kalori harian? Jom teliti 4 faktor ini.

Selalu rasa lapar

Apabila selalu rasa lapar, seseorang individu akan cenderung untuk terlebih makan kerana makan terlalu kerap atau/dan saiz hidangan yang tidak dikawal. Bagi menangani masalah ini, pilih makanan yang tinggi khasiat fiber dan protein tanpa lemak. Strategi ini akan membantu anda rasa kenyang dengan lebih lama. Lagi satu, mungkin rasa lapar tu, boleh jadi rasa dahaga sebenarnya. Sebab isyarat rasa lapar dan dahaga datang daripada bahagian otak (hypothalamus) yang sama. Jadi mungkin sebab itulah kadang-kadang kita jadi keliru. Cuba tips ini—setiap kali rasa lapar, cuba minum segelas air kosong dan tunggu selama 15 minit. Jika rasa lapar sudah berkurang, bermakna anda cuma rasa dahaga. Tetapi kalau perut masih berkeroncong dan rasa lapar belum hilang, bermakna anda memang sedang lapar.

Rasa bosan

Tapi kadang-kadang, ada juga yang tetap akan makan walaupun tidak rasa lapar sebab rasa bosan. Ini akan menyebabkan pengambilan kalori yang tidak diperlukan. Jadi penyelesaiannya? Cari aktiviti lain untuk dilakukan ketika bosan selain daripada makan. Alihkan perhatian anda daripada makanan kepada hobi lain seperti membaca, melukis, menonton televisyen, keluar bersiar-siar, melakukan regangan dan banyak lagi.

Pilihan makanan

Ramai pengamal diet yang menjadi mangsa kepada ‘halo effect’ dengan memakan kalori berlebihan daripada kumpulan makanan yang sihat. Sebagai contoh, buah avocado yang kaya dengan khasiat dan lemak sihat, tetapi, mengandungi jumlah kalori yang tinggi juga. Perlu diingatkan bahawa makanan berkhasiat yang diambil secara berlebihan juga akan menyebabkan berat naik. Jadi penting untuk mengambilnya dalam jumlah yang sederhana sahaja.

Komposisi tubuh

Otot membakar lebih banyak kalori berbanding lemak. Jadi bagi memaksimumkan kadar pembakaran kalori, tingkatkan jisim otot. Pengambilan sumber protein yang mencukupi serta program latihan kekuatan otot akan membantu anda membina otot yang sihat.

Dengan mengetahui serba sedikit tentang sebab-sebab yang mungkin mempengaruhi proses penurunan berat, anda boleh melakukan adjustment terhadap gaya hidup menurut pengetahuan yang diperolehi. Dengan daya usaha, cepat atau lambat, anda pasti akan melihat perubahan yang positif.

Entri: Tini Lorna Lim

Komen Facebook