Untuk ramai orang, melakukan push up adalah sesuatu yang sukar lebih-lebih lagi bagi mereka yang tak bergiat langsung dalam dunia kecergasan. Ada yang dah terlatih dengan push up sejak sekolah (kerana kerap sertai aktiviti kokurikulum).

Push up merupakan senaman yang paling asas dan mengaktifkan hampir keseluruhan otot dalam badan kita. Jika anda nak bina otot, lakukan push up. Jika anda nak kempiskan perut, lakukan push up. Jika anda nak betulkan postur tulang belakang, lakukan push up. Inilah antara senaman paling ajaib sekali untuk kita amalkan.

Tetapi tak semua orang boleh lakukan push up. Bukan kerana tak kuat, tetapi kerana tak biasa sahaja. Kalau anda dah amalkan nanti, ia akan jadi mudah. Nak tahu apa kebaikan push up?

1- Tingkatkan kekuatan seluruh badan

Sebagaimana senaman di gym menguatkan otot, apa sahaja senaman yang lain tak kira yang dilakukan secara bodyweight ataupun menggunakan sebarang peralatan turut menguatkan otot badan kita. Senaman yang anda buat di pusat fisio turut mempunyai tujuan yang sama.

Melakukan push up akan menguatkan hampir keseluruhan otot badan terutamanya pada bahagian atas badan. Lakukan dengan kerap, anda akan nampak perubahan bukan sekadar pada otot dada, tapi pada otot-otot lain juga.

2- Meregangkan otot bahagian belakang

Senaman push up memfokuskan pada otot bahagian depan. Apabila anda mengerjakan sesuatu otot, bahagian otot yang berlawanan dengan otot yang dikerjakan akan meregang.

Apakagh kepentingan meregangkan otot anda? Terlalu penting sangat untuk kesihatan badan. Selalu rasa sakit-sakit badan terutamanya pada bahagian leher, belakang, dan pinggang? Itu sebab otot anda dah ketat-ketat belaka.

3- Menguatkan sistem kardiovaskular

Sistem kardiovaskular (ataupun dalam kata mudah sistem jantung anda) turut mendapat kesan positif hasil daripada perlaksanaan senaman ini. Apabila anda mengerjakan otot-otot anda, jantung anda akan berkerja dengan baik untuk menghantar oksigen kepada otot.

Kenapa jantung boleh menjadi lemah? Sebab ia jarang dilatih. Dengan melakukan senaman, jantung juga turut mendapat senaman. Kalau anda terlupa, jantung juga merupakan otot (bukan sahaja biceps, triceps, deltoids).

4- Perbetulkan postur badan

Semua senaman perlu dilakukan dengan teknik yang betul untuk mendapatkan hasil paling maksimum. Senaman juga boleh mendatangkan kesan mudarat jika dilakukan menggunakan cara yang salah.

Apabila anda bersenam, anda akan mengajar badan anda untuk kekal dengan form yang cantik sepanjang pergerakan senaman tersebut. Dalam hal push up, bukan sahaja anda menggunakan teknik yang betul, malah teknik yang betul tersebut akan memperbetulkan postur badan anda untuk kesihatan seharian.

5- Jimat wang

Kalau nak pergi ke gym, itu adalah lebih baik kerana senaman yang boleh dilakukan dapat dipelbagaikan lagi variasi dan intensiti. Tetapi, jika anda tak mampu nak pergi ke gym, janganlah pula risau. Senaman lain pun datangkan kesan positif.

Push up adalah senaman yang paling asas yang patut anda cuba untuk amalkan. Tak tahu senaman lain, tak apa. Cuba yang ini dahulu dan baru belajar yang lain. Tak perlu gunakan wang dan anda boleh belajar dari YouTube sahaja.