Kekembungan (bloating) adalah rasa senak, berangin dan ketidakselesaan yang dirasai apabila makan terlalu cepat, makan terlalu banyak atau pengambilan makanan berfiber tinggi. Semua ini boleh mengakibatkan pengumpulan gas di dalam saluran penghadaman. Namun, tidak semua makanan bergas membawa mudarat.

 

Lihat sahaja gandum penuh yang kaya dengan sumber fiber dan nutrien. Fiber dan kanji memang boleh menyebabkan kekembungan perut jika dimakan secara berlebihan. Tetapi berita baik untuk anda, kebolehsesuaian tubuh manusia tidak pernah terbatas. Setelah beberapa lama, sistem penghadaman akan mulai terbiasa dengan lebihan fiber yang anda makan. Jadi, masalah gas dan kekembungan akan berkurangan. Mari kita lihat 4 lagi punca kekembungan perut seperti yang berikut;

 

Minuman bikarbonat

Minuman bergas akan menyebabkan perut kembung kerana anda sebenarnya menelan udara sekali. Sebab itulah kita akan sendawa setiap kali meminumnya dan kekembungan perut pula akan dirasai tidak lama selepas itu. Selain itu, mengunyah gula-gula getah, menghisap gula-gula, makan atau minum terlalu cepat juga boleh menyebabkan masalah yang sama.

 

Makanan berminyak

Makanan yang berlemak tinggi juga boleh menyebabkan kekembungan perut. Hal ini kerana, lemak melambatkan kadar pengosongan perut dan menyebabkan anda berasa senak dan tidak selesa.

 

Gula beralkohol

Makanan yang mengandungi gula beralkohol (sorbitol, mannitol dan xylitol) akan menyebabkan kekembungan perut kerana anda tidak berupaya menghadamnya dengan baik. Akibatnya, ia akan ditapaikan oleh bakteria yang berada di dalam saluran penghadaman anda. Gula beralkohol biasanya terkandung di dalam gula-gula yang dilabelkan sebagai “sugar-free”. Anda boleh rujuk label makanan jika tidak pasti.

 

Produk tenusu

Susu dan hasil tenusu yang lain boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kekembungan perut bagi mereka yang mempunyai alahan laktosa atau lactose intolerence – ketidakupayaan untuk menghadam laktosa (gula susu). Meminum susu tanpa laktosa atau mengambil pil laktase sebelum memakan mana-mana produk tenusu akan membantu mengurangkan simptom alahan. Walau bagaimanapun, rujuk kepada pengamal perubatan (doktor, ahli farmasi) terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa jenis pil.

 

Entri: Tini Lorna Lim