Perkataan kalori sering kali kita dengar apabila berbincang mengenai pengurusan berat badan. Tetapi, apa lagi yang anda tahu mengenai kalori selain daripada mengurangkan jumlah pengambilannya untuk menurunkan berat? Mari kita lihat.
Anda masih membakar kalori semasa tidur.
Kita tidak membakar kalori dengan bersenam semata-mata. Walaupun sedang duduk, berbaring atau tidur, anda masih membakar kalori. Bernafas pun membakar kalori! Jumlah kalori yang dibakar semasa aktiviti tersebut dipanggil sebagai ‘resting calorie rate’ atau ‘basal metabollic rate’.
Kalori terlalu kurang pun takkan membantu.
Ya, memang benar mengurangkan kalori adalah antara prinsip utama dalam proses menurunkan berat badan. Tapi apabila kalori harian terlalu sedikit, tubuh anda akan mengalami ‘starvation mode’ di mana tubuh akan mula menyimpan lemak bagi menjimatkan tenaga sehingga kadar metabolisme menjadi sangat perlahan. Akibatnya, proses penurunan berat badan akan terganggu. Bukan itu sahaja, keadaan ini akan membawa kesan jangka panjang terhadap kesihatan. Kebanyakan pakar bersetuju bahawa mengambil kurang daripada 1200 kalori sehari bukanlah idea yang baik. Jadi pastikan jumlah kalori harian anda tidak terlalu banyak atau terlalu sedikit.
Kiraan ‘calorie-burn’ pada mesin senaman biasanya kurang tepat.
Mesin senaman seperti treadmills, stair-climbers, ellipticals dan lain-lain biasanya mempunyai calorie counter. Pada tahun 2010, satu kajian telah dijalankan oleh Human Performance Center di University of San Fransisco. Mereka melaporkan bahawa secara puratanya, kiraan kalori pada mesin senaman tersasar sehingga 20%—mesin elliptical pula dilaporkan tersasar sehingga 42%. Tidak salah menggunakan mesin senaman tetapi jangan terlalu bergantung kepada angka yang tertera pada skrin.
Protein oh protein!
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa protein membantu meningkatkan kadar metabolisme dan mengawal selera makan. Maka disebabkan itu, diet yang kaya dengan protein boleh meningkatkan kadar pembakaran kalori sehingga 80-100 kalori dalam sehari. Pokoknya, lebih banyak kalori yang boleh disingkirkan hanya dengan menambah protein ke dalam diet anda. Satu lagi kajian melaporkan bahawa pengambilan 25% protein daripada jumlah kalori harian akan mengurangkan ketagihan makanan sebanyak 60%.
Pengetahuan ringkas mengenai kalori sedikit sebanyak dapat membantu anda merancang strategi atau program pengurusan berat badan dengan efektif. Ia juga akan membantu anda mengelak daripada melakukan kesilapan yang boleh ‘sabotaj’ usaha anda.
Entri – Tini Lorna Lim (FB Page: Tini Lorna)