Masalah keguguran rambut jarang sekali kita dengar apabila berbincang mengenai kesan penurunan berat badan. Alopecia (keguguran rambut) boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, terutamanya apabila usia semakin meningkat. Namun adakah diet menyebabkan rambut gugur? Boleh jadi juga. Tetapi untuk memahami kesan penurunan berat badan terhadap kesihatan rambut, kita perlu memahami dulu apakah punca masalah keguguran rambut.

Mengapa rambut boleh gugur?

Menurut American Academy of Dermatology, terdapat beberapa sebab mengapa rambut boleh gugur. Tetapi mereka mengingatkan bahawa setiap individu akan keguguran sebanyak 50-100 helai rambut sehari. Perkara ini normal. Ia hanya akan menjadi masalah apabila rambut gugur dalam jumlah yang banyak sehingga rambut semakin tipis atau terdapat tompok pada kulit kepala akibat daripada kehilangan rambut. Jadi apakah punca-punca keguguran rambut?

Perubahan hormon

Menurut National Institute of Health, perubahan hormon boleh menyumbang kepada masalah keguguran rambut. Perubahan tahap hormon androgen akan menyebabkan rambut semakin menipis. Selain itu, rambut di wajah juga menjadi lebih kasar. Bagi golongan wanita pula, perubahan tersebut menjadi lebih ketara selepas melalui fasa menopause. Dianggarkan bahawa dua pertiga daripada golongan wanita akan mengalami masalah keguguran rambut setelah menginjak ke fasa ini.

Kekurangan nutrisi

Kekurangan protein dan zat besi juga boleh membawa kepada masalah keguguran rambut. Diet yang keterlaluan pula (terlalu rendah kalori atau menghadkan sesetengah kumpulan makanan) akan meningkatkan risiko tersebut kerana badan tidak mendapat nutrisi yang mencukupi.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko keguguran rambut termasuklah,

Walaupun penurunan berat badan tidak tersenarai sebagai faktor keguguran rambut, tidak semestinya anda tidak akan mengalami masalah ini selepas berat turun. Diet yang keterlaluan boleh membawa stress yang melampau dan juga keletihan. Digabungkan lagi dengan kekurangan nutrisi, risiko keguguran rambut semakin meningkat. Bagi sesetengah situasi pula, mungkin bukan penurunan berat yang menjadi punca sebaliknya faktor-faktor lain seperti perubahan hormon dan sebagainya. Sekiranya anda mengalami keguguran rambut yang ketara, rujuk kepada doktor bagi menentukan punca sebenar masalah tersebut, cara mengatasinya dan juga merujuk anda kepada pakar pemakanan atau ahli dermatologi.

Entri – Tini Lorna Lim (FB Page: Tini Lorna)