Berat tak turun sudah cukup mengecewakan, apatah lagi bila berat naik? Dalam usaha menurunkan berat badan, jangan putus asa apabila berat naik pula. Situasi tersebut tidak semestinya bermaksud anda telah melakukan kesilapan. Jika anda menjaga pemakanan, menjaga kalori dan bersenam secara kerap, anda sedang berada di landasan yang betul, walaupun berat anda naik. Persoalan yang lebih besar ialah, mengapa berat badan boleh naik pula? Mari kita lihat sebabnya.

 

Otot bertambah: Latihan kekuatan sudah tentulah menambah jisim otot anda. Bila jisim otot bertambah, maka berat badan juga akan bertambah, mungkin juga tiada perubahan langsung. Namun ini adalah satu petanda yang baik. Mengapa? Otot membantu anda menyingkirkan lemak dan itulah yang anda benar-benar mahukan.

 

Penahanan air: Ia sering berlaku kepada mereka yang baru sahaja mula bersenam. Ia merupakan sebahagian daripada proses pemulihan tubuh dan cara mendapatkan glycogen dengan lebih efisien. Glycogen akan disimpan dalam sel bersama-sama dengan lebihan air. Oleh itu, lebih banyak bersenam, tubuh anda juga akan menyimpan dan menggunakan glycogen dengan lebih cekap. Sebab itulah tubuh anda menahan lebihan air.

 

Terlebih kalori: Ia boleh berlaku jika anda tidak menjaga pemakanan anda. Mungkin anda menebus semula tenaga yang dicurahkan sewaktu sesi senaman anda dengan makan lebih banyak atau berehat lebih lama. Mungkin juga anda memakan makanan berkhasiat dalam jumlah yang berlebihan sehingga melangkaui had kalori harian. Berwaspada, makanan berkhasiat juga mengandungi kalori. Sikit-sikit, lama kelamaan menjadi banyak juga.

 

Jika anda boleh melihat perubahan bentuk tubuh tetapi masih bimbang dengan bacaan penimbang berat, ketepikannya buat masa ini. Lebih baik gunakan cara lain seperti tali pengukur, angkup kaliper dan baju lama anda.

 

Entri: Tini Lorna Lim