Sekarang dah jadi trend, budak-budak yang baru masuk ke gym terus dihulurkan barang-barang ajaib untuk bina badan. Katanya, pakai barang-barang ini, badan cepat menjadi.
Ya, steroid memang padu untuk membina badan. Kalau anda pakai dan latihan serta pemakanan anda mantap, memang boleh jadi champion. Tetapi, itulah, jadi champion maksudnya anda kena masuk pertandingan. Kebanyakan daripada kita bukannya masuk pertandingan pun. Buat badan untuk kepuasan diri sahaja.
Setiap yang professional akan beritahu anda yang steroid bukanlah untuk kegunaan hobi rekreasi. Jika mereka mencadangkan kepada anda untuk guna walhal anda tiada niat untuk bertanding sehingga peringkat tinggi, maka itu bukanlah pengaruh yang baik.
Tahukah anda, steroid adalah sejenis dadah yang mampu mendatangkan pelbagai risiko kesihatan? Pengguna bertaraf dunia gunakan steroid di bawah pengawasan doktor, dan kerjaya atlit bina badan bergantug pada kebolehan mereka untuk memenangi pertandingan. Jika tidak, tajaan mereka akan lari, peluang bisnes mereka tertutup, dan macam-macam lagi. Sebab itu mereka gunakan steroid, adakah anda memiliki alasan yang sama?
Admin tak cadangkan sesiapa gunakan steroid melainkan mereka berniat untuk pergi jauh dalam industri ini. Jika anda masih mahu gunakan, itu terpulang pada diri anda. Steroid bukanlah benda yang wajib dalam bina badan. Malah, ramai yang dah berjaya buat badan secukup rasa, dan ada yang lagi cantik berbanding yang gunakan steroid.
Kenapa boleh jadi begini? Satunya, pengguna steroid sekarang, ramainya terdiri daripada orang baru mula main gym. Mereka kekurangan pengalaman dan asas dalam bina badan. Biasanya, otai-otai yang guna steroid dah berlatih bertahun-tahun secara clean dan mereka kukuh dalam asas mereka. Apabila sampai satu tahap mereka nak capai lebih daripada kemampuan natural, barulah mereka gunakan. Sayangnya, ramai daripada kita belum capai keseluruhan potensi natural kita, itupun sudah gunakan PED (performance enhancing drugs).
Jadilah pengguna bijak dan bina badan secara berhemah.
Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)