Bench press adalah senaman yang digemari oleh ramai. Senaman ini mensasarkan pembinaan otot dada, bahu, dan triseps. Ia diklasifikasikan sebagai selaman kompaun.

Cuma, sesetengah daripada kita mempunyai masalah sakit bahu apabila mereka melakukan bench press. Ini mengganggu prestasi latihan mereka lantas menyebabkan mereka tidak dapat manfaat bench press sepenuhnya.

Apakah yang menyebabkan sakit bahu ini semasa melakukan senaman tersebut? Faktor paling utama yang kita kena lihat ialah ketidakseimbangan otot antara bahagian depan dengan bahagian belakang. Mereka yang sakit bahu semasa bench press biasanya terdiri daripada mereka yang terlalu fokus pada senaman dada dan kurang pada senaman belakang. Kekuatan bahagian depan tidak sama dengan bahagian belakang menyebabkan ketidakseimbangan otot.

Ini juga mendorong kepada postur badan yang tidak baik kerana apabila anda kuat pada bahagian hadapan sahaja, badan anda akan membongkok kerana daya untuk meluruskan badan anda tidak begitu kuat. Kemudian, ia membawa juga kepada masalah rotator cuff (otot yang memegang, menstabilkan, dan memusingkan sendi bahu).

Dalam senaman bench press, tangan anda akan melakukan gerakan yang dipanggil sebagai external rotation. Gerakan ini dilakukan dan distabilkan oleh rotator cuff. Apabila otot ini lemah, bahu anda tidak dapat berfungsi dengan optimum. Ini turut mengundang kepada masalah tendon tersepit dan biasanya Inilah punca kepada kesakitan itu.

Untuk menangani masalah ini, anda kena mula dengan mengimbangkan semula otot anda. Kemudian, anda kena betulkan postur badan anda. Selepas itu, kita kena kuatkan rotator cuff kita. Dalam masa semua ini berjalan, kita kena belajar untuk lakukan bench press dengan teknik yang betul.