Pasti ada yang tertanya-tanya, “Cankle tu apa?”. Terma cankle tidak terdapat di dalam mana-mana kamus perubatan tetapi ianya merupakan satu slang popular yang merujuk kepada bahagian yang terletak di antara betis (calf) dan pergelangan kaki (ankle). Perhatikan kaki anda sekarang. Adakah pergelangan kaki anda tampak membengkak? Adakah saiz pergelangan kaki lebih kurang sama dengan betis? Itulah ‘cankle’.
Tapi adakah ianya normal? Cankle boleh jadi tanda amaran kepada masalah kesihatan. Menurut National Institute of Health (NIH), bengkak pada pergelangan kaki yang tidak menyakitkan boleh berlaku kepada wanita mengandung, serta individu yang mengalami masalah kegemukan atau ketidakseimbangan hormon. Ia juga boleh terjadi akibat duduk terlalu lama atau kesan sampingan daripada pengambilan ubat tertentu dan ia juga boleh terjadi selepas menjalani sesuatu pembedahan.
Selain itu, bengkak di kaki juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor yang lebih serius seperti masalah peredaran darah, pendarahan dalaman, jangkitan dan lebih parah lagi, kegagalan jantung, buah pinggang dan hati. Sekiranya bengkak tersebut semakin membesar, atau disusuli dengan sakit dada dan sesak nafas, dapatkan rawatan doktor dengan segera.
Atasi Cankle Sekarang!
Terdapat beberapa cara bagi mengurangkan cankle iaitu;
-
Turunkan berat badan
Tiada cara lain yang lebih baik daripada diet yang sihat dan program senaman yang konsisten. Aktiviti berjalan kaki merupakan senaman yang sangat baik bagi mengatasi cankle. Ianya bukan sahaja melancarkan peredaran darah, malahan membina otot betis juga. Apabila usaha tersebut mulai menampakkan hasil, anda akan dapati bengkak tersebut semakin mengecil. Cankle juga boleh terjadi akibat daripada tabiat pemakanan yang tidak sihat. Sebagai contoh, diet bersodium tinggi boleh menyebabkan penahanan air (water retention) dan garam dalam badan. Keadaan ini lazimnya lebih ketara di bahagian kaki. Namun terdapat berbagai cara yang efektif bagi mengurangkan ‘gemuk air’ iaitu;
-
Kurangkan garam dalam makanan
-
Kurangkan makanan yang diproses
-
Memakan herba semulajadi seperti halia dan daun parsley.
-
Mengambil dierutik (minuman berkafein) secara sederhana seperti kopi dan teh.
-
Rawatan perubatan
Cankle yang disebabkan oleh lemak boleh dikurangkan dengan kaedah rawatan liposuction. Hasilnya, betis akan kelihatan lebih berbentuk dan pergelangan kaki tampak lebih kecil berbanding sebelumnya. Walau bagaimanapun, seperti mana-mana prosedur pembedahan yang lain, ianya sangat mahal dan berisiko.
Cadangan Senaman Untuk Betis Dan Pergelangan Kaki
Senaman mudah ini boleh dilakukan sepanjang hari dan diselitkan ke dalam rutin seharian anda. Ia membantu melancarkan peredaran darah di kaki, membentuk otot dan seterusnya mengurangkan cankle.
Calf raise
-
Dalam posisi berdiri, angkat tumit dan kemudian turunkan semula.
-
Ulangi pergerakan 7-10 kali.
-
Pegang hujung meja atau kerusi untuk sokongan (sekiranya perlu).
Plies
-
Dalam posisi berdiri, rapatkan kedua belah kaki dan pusingkan ia sehingga membentuk huruf ‘V’.
-
Kemudian bengkokkan lutut dan kembali ke posisi mula.
-
Boleh dilakukan dengan sokongan atau tanpa sokongan.
Senaman lain yang boleh membantu:
-
Lompat tali
-
Naik turun tangga
-
Berjoging
-
Untuk lebih advanced lagi, senaman plyometric seperti squat jump, lunge jump, box jump dan lain-lain.
Entri – Tini Lorna Lim (FB Page: Tini Lorna)