Saya semalam dapat mesej daripada seorang pelanggan yang bertanya perihal rakannya yang menggunakan mass dan berjaya naik berat badan tetapi badannya tidak nampak begitu berotot. Mungkin sekali apa yang diterangkan oleh pelanggan ini adalah rakannya nampak sebu.
Semua ni boleh terjadi kerana badan anda menyimpan banyak air disebabkan kandungan garam dalam badan yang tinggi. Tetapi kebanyakan masa, ini bukanlah sebab utama. Ramai orang sebu berpunca daripada peratusan lemak badan yang tinggi.
Apabila lemak di bawah kulit anda banyak, maka otot anda tidak dapat menonjol dengan baik. Mana tidak, ia dilitupi oleh lemak. Jika anda nak tampil lebih berotot, anda perlu membakar lemak.
Anda masih boleh nampak sado dan besar meskipun berlemak, pakai baju masih nampak tough juga. Semuanya bergantung pada diri anda. Jika anda nak nampak kering dan memuaskan hati semua orang, anda memang kena jadi kurus sedikit.
Biasanya, apabila anda memiliki peratusan lemak badan yang rendah, ia menjadi lebih susah untuk dijaga. Makin rendah peratusan lemak badan maka makin susah. Sekitar 15% adalah julat yang sesuai untuk anda cuba kekalkan.
Untuk memulakan langkah bagi membakar lemak, pastinya anda kena mulakan dengan diet anda dahulu. Masuk ke fasa cutting untuk lebih cepat atau pun ubah sedikit gaya pemakanan anda supaya menjadi lebih seimbang dan sihat. Fokus anda sekarang adalah untuk membakar lemak sedikit demi sedikit, bukannya buat transformasi pantas.
Saya tak galakkan anda bakar lemak begitu cepat dan juga buat transformasi badan secara mendadak kerana ini akan merisikokan kehilangan jisim otot. Anda akan nampak lebih kecil dan ini tidak bagus. Sama juga sewaktu bulking, jangan naik terlalu cepat kerana ia akan menggalakkan kenaikan lemak.
Apabila anda dah dapat teknik diet yang sesuai untuk diri anda bagi mengurangkan berat badan dan juga membakar lemak, apa yang anda perlu buat sekarang adalah hanya tambahkan aktiviti harian. Kurangkan menaiki kereta, menaiki lif, menaiki eskalator dan banyakkan berjalan kaki. Jika anda kerap hantar baju ke dobi, apa kata anda cuba cuci sendiri pula. Kalau rumah anda ada tanah rumput, cuba potong setiap minggu.
Aktiviti-aktiviti harian begini meskipun nampak kecil tetapi jika dilakukan secara konsisten mampu membakar lebihan kalori yang banyak dan juga bantu anda untuk membakar lemak dengan baik. Tak semestinya perlu bersenam, berjogging, mengangkat bebanan untuk membakar lemak, buat kerja rumah juga boleh.
Tidak lupa juga pastikan anda minum banyak air untuk membantu buang lebihan air dalam badan. Meminum banyak air juga sangat bagus untuk membakar lemak kerana badan anda cenderung untuk bakar lebih kalori. Jangan tunggu sampai dah agak untuk minum air. Cuba sasarkan 2 liter ke atas sehari.
Entri: Aiman Radzi