Latihan ada pelbagai cara, bukan hanya pergi gym sahaja. Latihan juga bukan sekadar untuk membina badan, ada pelbagai target lain yang ada dalam dunia kecergasan. Kepelbagaian beginilah yang menjadikan dunia fitness satu perkara yang menarik!
Apabila kita mula membasahkan kaki ke dalam lautan fitness, kita akan jumpa pelbagai jenis individu dengan cara yang tersendiri. Adakah cara mereka salah? Jika asasnya betul, maka yang selebihnya dilakukan itu kita panggil sebagai variasi. Kalau asas dah salah, maka ia tetap dipanggil sebagai salah.
Kita bukan nak bincang tentang betul atau salah, tetapi saya nak kongsikan beberapa benda perihal latihan semasa bulan Ramadhan. Pernah tertanya tak, bagaimana orang lain kekalkan tahap fitness mereka sambil berpuasa? Jika anda nak tahu, cuba baca senarai di bawah ini:
1- Makan pisang semasa berbuka dan kemudian berlari
Selepas berbuka dengan pisang (dan bersolat dahulu), ada yang melakukan kardio untuk beberapa minit (20-30 minit) sambil menunggu masuknya waktu Isya’.
2- Bersenam untuk kekalkan fitness bukan “bina” fitness
Kerana kita kekurangan makan dan masa untuk bersenam, bulan Ramadhan merupakan bulan yang sesuai untuk kita lakukan latihan dengan tujuan maintenance.
3- Berenang sebelum berbuka (muka ragu-ragu)
Ya, ada sesetengah individu yang pergi berenang sebelum berbuka. Mungkin di belakang rumahnya ada kolam persendirian. Harapnya tak adalah mereka minum sambil menyelam.
4- Bersukan sebelum berbuka
Bagi mereka yang bujang dan duduk berseorangan (atau dengan kawan), mungkin buat sebegini tak ada masalah sangat kerana kalau dah berkeluarga pasti akan berbuka dengan keluarga.
5- Berjalan ke surau/masjid yang jauh sedikit daripada biasa
Tak ada masa bersenam, atau takut penat kalau bersenam? Berjalan pun kira senaman juga. Pergi solat jemaah di surau atau masjid yang jauh sedikit daripada biasa.