Menimbang berat adalah sebahagian daripada proses menurunkan berat badan. Namun, ianya bukanlah sekadar angka semata-mata. Malahan berat badan mampu memberi kesan emosi yang negatif bagi sesetengah individu. Tetapi, benarkah berat badan penentu segala-galanya? Bagaimana pula dengan komposisi tubuh? Antara menurunkan berat atau mengurangkan lemak, mana satukah yang lebih penting?
Berat Badan vs Komposisi Tubuh
Apabila bercakap mengenai program berat badan, sebenarnya yang kita mahukan ialah perubahan penampilan tubuh, bukan? Mungkin anda overweight, jadi anda mahu kelihatan lebih kurus. Mungkin anda ‘underweight’ (terlalu kurus), jadi anda mahu kelihatan lebih berisi. Sebenarnya adakah anda benar-benar mahukan perubahan berat atau komposisi tubuh? Walaupun namanya ‘program berat badan’, tidak semestinya penimbang berat dijadikan satu-satunya penanda aras. Apabila berat badan turun, mungkin ianya disebabkan oleh kehilangan air, pengurangan otot, perubahan hormon dan sebagainya. Angka di atas penimbang juga hanya menunjukkan berat keseluruhan tubuh anda. Ia tidak membezakan berat otot, lemak, tulang, organ dalaman dan kandungan air dalam tubuh anda.
Sebagai contoh, Captain America kita, Chris Evans, dengan ketinggian 183 cm dan berat 200 paun (90 kg). Mengikut pengiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI), beliau dikategorikan sebagai ‘overweight’ atau berat badan berlebihan. Tetapi, adakah beliau kelihatan ‘overweight’ atau gemuk? Jauh sekali. Memfokuskan kepada pengurangan lemak sebenarnya jauh lebih penting kerana perubahan komposisi tubuh menunjukkan anda sedang berada di landasan yang betul.
Bagaimana Berat Badan Boleh Menipu Anda?
- Berat badan merangkumi segala-galanya: Angka tersebut termasuklah berat otot, lemak, tulang, organ dalaman, makanan, minuman dan tinja.
- Berat badan tidak menggambarkan perubahan yang berlaku dalam tubuh: Apabila anda melakukan senaman kardio dan latihan kekuatan, proses pengurangan lemak dan pertambahan jisim otot akan berlaku dalam masa yang sama. Dalam situasi ini, berat badan anda mungkin tidak menunjukkan banyak perubahan pun.
- Berat badan tidak mengukur tahap kesihatan anda: Penimbang berat tidak boleh membezakan otot atau lemak. Ini bermakna, tidak mustahil seorang individu masih mempunyai kandungan lemak yang tinggi walaupun dengan berat badan yang rendah.
- Berat badan boleh menyebabkan stress: Terlalu fokus kepada penimbang berat akan mencetuskan stress yang tidak diperlukan. ia akan menghalang anda daripada melihat perubahan positif yang lain seperti tahap kekuatan dan daya ketahanan otot, stamina, kepantasan dan tenaga. Pendek kata, ianya bukanlah satu sumber motivasi yang baik.
Entri: Tini Lorna Lim