Sebagaimana yang seringkali digembar-gemburkan di media massa, ‘haba ekstra’ ini tidak membantu menurunkan berat untuk jangka masa yang panjang. Mungkin ada penurunan berat buat seketika, tetapi berat yang hilang sebenarnya terdiri daripada air semata-mata. Seperti mana yang kita semua ketahui, haba meningkatkan suhu badan dan membuatkan kita berpeluh. Namun, ia tidak bermakna kadar pembakaran kalori atau lemak juga meningkat mendadak. Lagi pula, haba yang berlebihan juga boleh menjejaskan kualiti senaman disebabkan oleh dehidrasi.
Apabila suhu badan meningkat, tubuh akan bertindak balas dengan berpeluh untuk menyejukkan permukaan kulit. Cecair yang dikeluarkan semasa berpeluh kebanyakannya terdiri daripada air dan elektrolit. Jika anda kehilangan berat badan dengan cara ini, berat tersebut akan naik semula di masa makan yang seterusnya. Ya, semudah itu sahaja. Situasi ini benar sekiranya anda bersenam di suhu yang panas, menjalani rutin sauna, memakai sut sauna dan sebagainya. Haba tidak ada kena mengena dengan peningkatan kadar pembakaran kalori, apatah lagi lemak.
Walau bagaimanapun, haba yang terkawal masih ada kebaikannya dalam senaman. Ambil contoh daripada yoga bikram (sejenis yoga yang dilakukan di bilik bersuhu panas), haba tersebut membantu memanaskan otot dengan baik. Maka ia boleh mengelakkan risiko kecederaan serta meningkatkan kelenturan otot. Rutin sauna pula adalah suatu aktiviti yang menenangkan, mengurangkan stress dan melegakan sakit otot. Selain itu, bilik yang berstim ini juga boleh melegakan hidung yang tersumbat untuk melancarkan pernafasan.
Antara risiko yang melibatkan aktiviti bersenam di persekitaran yang panas, rutin sauna atau mandian wap adalah dehidrasi. Individu yang berusia 65 tahun ke atas, pesakit darah tinggi dan kanak-kanak mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding yang lain. Perlu diingat, tubuh yang kehilangan terlalu banyak cecair dan elektrolit akan mengalami;
- Pening
- Mual
- Muntah
- Kekejangan otot
- Pengsan
- Keletihan haba yang akhirnya membawa kepada strok haba
- Sindrom dehidrasi yang lebih parah akan menyebabkan kegagalan ginjal dan akhirnya kematian
Akhir kata:
Apabila terdedah kepada suhu panas, tak kiralah samada ketika bersenam atau duduk di bilik sauna, sentiasa beringat untuk minum air. Lagi banyak berpeluh, lagi banyak minum air. Minuman yang mengandungi elektrolit juga boleh membantu mengembalikan tahap hidrasi tubuh yang baik, terutamanya jika anda bersenam untuk tempoh masa yang lama. Jika anda menggemari rutin sauna, hadkan masa anda – 20 minit adalah masa yang terbaik. Di samping itu, elakkan memakai sut sauna atau sut plastik kerana ia tidak akan membantu meningkatkan jumlah pembakaran kalori, melainkan jalan ‘shortcut’ kepada dehidrasi. Hentikan apa sahaja aktiviti di suhu panas sekiranya anda mulai rasa letih lesu, pening, mual atau pitam. Kalau boleh, bersenam di suhu biasa atau gunakan sahaja fasiliti yang di dalam gym. Persekitarannya lebih selamat, selesa dan serba-serbi lengkap.
Entri: Tini Lorna Lim