Soalan yang kerap sekali ditanya, berkaitan pembakaran lemak. Yang manakah lagi banyak membakar lemak?
Kedua-dua ini membakar lemak dan sangat penting dalam proses untuk menguruskan badan. Latihan-latihan ini menggunakan simpanan tenaga yang berlainan semasa latihan dijalankan.
Secara amnya, latihan di gym akan membakar bekalan karbohidrat dalam badan, lagi-lagi yang jenis berintensiti tinggi. Lemak susah nak dijadikan sumber tenaga dengan cepat (latihan bebanan memerlukan tenaga tinggi dalam masa singkat).
Kalau latihan kardio berdurasi panjang, lemak ada masa untuk dijadikan tenaga. Proses metabolisme lemak dalam latihan kardio adalah lebih tinggi berbanding latihan di gym. Akan tetapi, ada benda anda kena faham.
Memang latihan kardio akan bakar lebih banyak lemak semasa bersenam berbanding latihan bebanan, dan ia memudahkan proses pembakaran lemak. Tetapi, untuk mengekalkan badan yang rendah lemak, anda memerlukan otot dan otot terbina melalui latihan bebanan.
Otot yang tebal dan kuat bererti metabolisme badan yang lebih tinggi. Kunci kepada badan sihat dan rendah lemak ialah metabolisme yang tinggi, kerana badan akan sentiasa membakar kalori.
Otot memerlukan tenaga untuk berfungsi. Oleh itu, tenaga ini diperoleh daripada pemakanan dan juga simpanan tenaga semula jadi dalam badan (semuanya dalam bentuk kalori). Semakin banyak otot, semakin banyak kalori dapat dibakar.
Menjawab soalan ini, anda memerlukan otot untuk kekal kurus. Latihan kardio pula dapat bantu bakar lemak dengan baik (tetapi mengambil masa panjang). Gabungkan dua-dua, maka anda dapat maksimumkan kebolehan anda.
Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)