Persoalan berkenaan rutin senaman selalu menimbulkan kekeliruan. Ramai yang menjadi buntu apabila hendak memikirkan yang bilakah mereka patut tukar rutin senaman mereka. Ataupun, tidak perlu tukar dan kekal dengan rutin sama sahaja?
Pernah dengar yang squat adalah terbaik untuk kaki? Benar, tetapi adakah disebabkan itu yang terbaik, maka anda kekal squat sahaja sampai bila-bila tanpa mencuba variasi lain? Macam mana pula dengan rep dan set? Ada yang kata nak bina otot kena buat 8-12 rep untuk 4 set. Jadi, tak boleh cuba skema-rep lain?
TUKAR RUTIN APABILA IA SUDAH MENJADI SENANG
Panduan paling mudah untuk difahami ialah, tukar rutin senaman anda apabila ia menjadi senang dan badan anda tidak lagi “terseksa” keesokan harinya akibat daripada senaman tersebut.
Salah satu konsep senaman penting ialah “adaptation” di mana badan anda akan menyesuaikan diri dengan latihan bebanan yang anda bagi. Penyesuaian inilah yang menyebabkan anda semakin kuat dan membesar. Sebab itu anda rasa sakit-sakit, sebab badan anda masih cuba untuk menyesuaikan diri.
Ingat lagi pertama kali anda squat dahulu? Ataupun sekarang juga masih berlaku, esoknya jalan terkangkang-kangkang. Itu belum cakap lagi pasal naik turun tangga, nak duduk buang air besar sekali pun rasa seksa! Ya, inilah yang dipanggilkan muscle soreness dan otot anda sedang cuba untuk membesar.
Apa jadi apabila anda sudah lama squat tanpa mengubah variasi senaman seperti posisi, rep, set, dan lain-lain? Senaman tersebut menjadi mudah, dan anda berjalan macam tak ada apa-apa esoknya.
Itu maksudnya, otot anda sudah kuat dan membesar bagi tahap bebanan dan variasi tersebut. Apa lagi yang anda kena buat sekarang? Samada ubah variasi senaman, ubah rep, ubat set, ubah bebanan, atau ubah apa-apa sahaja yang boleh bagi susah lagi senaman tersebut.
Fikir sejenak dan cuba ingat semula, hari latihan apakah yang anda sudah tidak berasa muscle soreness? Kalau ada, maksudnya anda kena buat sesuatu sekarang!