Bina Badan Tanpa Ke Gym

Ramai yang bertanya kepada Admin, betulkah perlu pergi ke gym untuk membina badan. Sebenarnya, anda tidak diwajibkan untuk ke gym bagi membina badan, tetapi tidak dinafikan gym memudahkan kerja. Anda dah tersedia dengan peralatan yang cukup, kenapa berasa gym tidak berbaloi?

 

Kalau anda masih mahu untuk bina badan tanpa pergi ke gym, boleh tetapi anda perlukan beberapa benda. Dan, anda masih perlukan bebanan biarpun anda tak beli dumbbell dan barbell sendiri, anda kena buat bebanan sendiri.

 

Bebanan DIY

Anda tak semestinya kena guna barbell dan dumbbell untuk bina badan. Satunya, anda boleh guna bebanan berat badan anda sendiri melalui latihan calisthenics, tetapi sampai satu masa nanti anda masih kena tambah bebanan. Jadi, untuk membuat bebanan DIY, anda hanya perlukan diri anda untuk jadi kreatif.

 

Anda boleh gunakan beg kosong berisikan buku, batu, botol air yang banyak, atau apa-apa sahaja. Yang penting, anda kena ada bebanan untuk digunakan. Ini adalah syarat utama (bagi Admin) untuk membina badan tanpa gym.

 

Kenapa Perlukan Bebanan

Dalam latihan, kita ada beberapa prinsip latihan dan salah satunya adalah overload dan diiringi dengan progression. Untuk membina badan, kedua-dua prinsip ini memainkan peranan yang cukup besar untuk keberkesanan latihan.

 

Overload bermaksud bebanan dan progression adalah ansur maju. Maksudnya, kalau anda nak bina otot, anda kena gunakan bebanan yang sentiasa bertambah daripada semasa ke semasa. Untuk lebih tepat lagi, intensiti latihan anda kenalah meningkat.

 

Latihan Terbaik Tanpa Ke Gym

Bagi Admin, kalau anda nak badan mantap tanpa pergi ke gym, anda boleh cuba amalkan latihan strongman dan juga latihan calisthenics. Semestinya latihan strongman memerlukan bebanan yang lebih banyak, tetapi alatannya juga agak unik (seperti tayar traktor dan lain-lain). Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, sekarang dah ada banyak tempat menawarkan latihan strongman.

 

Malah, kalau anda nak berlatih bina badan dengan angkat kelapa sawit pun boleh, tetapi semestinya ia jauh lebih susah. Bina badan memerlukan program latihan yang teliti, di mana anda akan angkat bebanan tertentu untuk rep tertentu sebanyak set tertentu dengan rehat tertentu. Sebab itu, gym adalah pilihan yang paling bijak untuk mencantikkan badan, pelaburan yang sangat berbaloi. Bukannya mahal sangat pun, kan?

 

Entri: Aiman Radzi (@TheTherabeast)

Komen Facebook