Admin dapat lagi soalan yang agak baik oleh pembaca setia, berkaitan kardio dan bulking. Beliau bertanya samada boleh atau tidak kita melakukan kardio semasa bulking. Persoalan begini timbul dek kerana risaukan otot mereka “jatuh” akibat melakukan kardio.
Persoalan pertama yang perlu ditanya, otot anda nak jatuh ke mana? Lantai licinkan boleh jatuh-jatuh? Mungkin terma yang lebih baik ialah takut otot anda terbakar atau terurai. Jadi, patutkah anda mengetepikan kardio kerana risaukan yang ini?
Bulking bukanlah alasan untuk anda tidak melakukan kardio, tetapi kardio yang anda hendak lakukan haruslah berstrategi. Sememangnya, kardio akan bakar lebih kalori dan jika akan bakar banyak sangat, susah untuk kekal dalam fasa caloric surplus. Mujurlah kita ada berbagai jenis kardio, yang paling mudah ialah kardio berintensiti tinggi dan yang jenis berintensiti rendah.
Jogging tergolong dalam intensiti rendah, dan ini yang orang selalu lakukan, hatta ada yang buat hari-hari. Kalau anda nak fokus bina badan, kardio ini harus dikurangkan tetapi bukan ditinggalkan. Cukup 1-2 kali seminggu. Sebaliknya, fokus anda adalah pada kardio berintensiti tinggi seperti berlari, berenang, dan freeletics. Ini kerana kedua-dua jenis latihan kardio ini melatih jenis otot berbeza.
Kita bernasib baik kerana otot yang dilatih dalam kardio berintensiti tinggi adalah sekumpulan dengan jenis otot yang kita latih semasa mengangkat berat di gym. Jadi, kardio pun dapat, gym pun dapat. Tak perlu risaukan lagi tentang otot “jatuh”. Yang penting, anda jaga pemakanan harian anda!