Bolehkah Anda Buat Sampai Seribu Push Up Hampir Setiap Hari?

Ramai yang tak mahu pergi ke gym kerana faktor-faktor tertentu yang menyekat mereka seperti faktor kewangan, masa, keluarga, dan lain-lain. Jadi, mereka amalkan latihan di rumah sahaja. Antara latihan kegemaran di rumah ialah senaman push ups. Ada yang buat sampai 1000 setiap hari! Adakah ini bagus?

 

Admin pernah berjumpa dengan seorang champion strongman dan beliau berkongsi dengan Admin yang beliau dahulu mengamalkan 3000 pushups setiap hari. Satu angka yang memang luar biasa, lagi-lagi diamalkan setiap hari.

 

Macam mana beliau boleh melakukannya? Satu, beliau mempunyai genetik yang cukup hebat. Mana tidak, champion dalam bina badan, champion dalam strongman, stamina yang tinggi. Memang hebat sekali, tak semha orang mampu melakukannya, tetapi kelebihan genetik beliau menjadikan badan beliau sangat sesuai untuk sukan seperti ini.

 

Apa yang beliau dapat daripada 3000 push ups setiap hari? Mengikutnya, kelebihan yang ketara adalah dari segi kekuatan. Pergerakan menolak (dada, triceps, dan bahu) semakin kuat, tetapi beliau tak rasa begitu banyak perubahan dari segi saiz badan. Mungkin ada kaitan dengan saiznya yang memang sudah sedia ada besar ketika itu?

 

Daripada perkongsian beliau, apa yang kita dapat kenal pasti ialah latihan tinggi isipadu seperti itu mampu menjadikan anda lebih kuat kerana yang melatih sistem saraf dalam badan anda untuk menghadapi tekanan tinggi. Tetapi, jika anda sudah mempunyai badan yang besar dan berpengalaman banyak dalam latihan, latihan seperti ini tidak akan menambahkan lagi saiz badan anda kerana badan anda kini menggunakan rangsangan yang lebih tinggi untuk membesar (intensiti lebih tinggi bermaksud menggunakan bebanan yang lebih berat).

 

Ingat, tak semua orang sesuai melakukan latihan ini kerana risiko untuk anda mengalami kecederaan sendi adalah amat tinggi. Bebanan yang diberikan, meskipun ringan, tetapi apabila diulang pada kadar yang terlalu banyak, boleh memberi kesan negatif kepada ruang sendi anda.

Komen Facebook