Bolehkah Kita Jadi Gemuk Kalau Kita Ambil Banyak Sangat Protein?

Masalah orang kita sekarang, ramai yang terlebih-lebih dalam macam-macam. Paling selalu lebih ialah mengecam orang dalam dunia cyber. Tetapi, kita bukan nak bercakap tentang makcik bawang. Fokus kita adalah pada fitness. Dan sekarang, kita sedang bercakap tentang terlebih pengambilan protein, bolehkah ia menjadikan kita gemuk?

Asas kepada turun naik berat badan ialah kemasukan kalori yang berlebihan daripada yang diperlukan. Kalau anda makan banyak melebihi keperluan badan, maka berat badan anda akan naik. Begitu mudah sahaja untuk faham. Sekarang, anda kena bezakan makan banyak dengan kalori banyak. Anda boleh makan sikit tetapi kalori banyak, dan boleh juga makan banyak tetapi kalori sikit. Macam mana? Pilihan makanan. Makanan benda berminyak dan manis, sikit sahaja dah tinggi kalori. Makan sayur, banyak mana pun tak macam naik kalori.

Bagaimana pula dengan protein? Yang bina badan sangat memerlukannya dalam kuantiti banyak untuk bina otot. Kalau terlebih ambil protein pun boleh menggemukkan juga, ke?

Protein juga mempunyai kalori. 1g protein bersamaan 4kcal, sama nilai dengan 1g karbohidrat. Manakala, 1g lemak sama dengan 9kcal. Seperti yang dikatakan tadi, kalau kalori anda terlebih daripada keperluan, berat badan anda boleh naik. Lagi jauh tinggi, lagi besar juga kemungkinan untuk naik berat badan.

Cuma, naik berat badan tidak bererti gemuk. Naik otot pun dikira naik berat, bukan? Yang mudah menyebabkan anda jadi gemuk ialah terlebih karbohidrat, kerana ia mudah disimpan sebagai lemak. Benar, protein juga boleh disimpan sebagai lemak tetapi tidaklah begitu mudah. Otot kita sukakan protein, badan kita semua sukakan protein. Sekarang, ramai daripada kita kekurangan protein berbanding telrebih dengannya.

Berapakah jumlah yang dikatakan lebih? Ini tidak ada jumlah tertentu kerana setiap individu mempunyai keperluan berbeza. Lagi-lagi kalau anda membina badan, tangki protein anda adalah lebih besar dan anda memerlukannya dengan banyak! Sasarkan kepada 2g protein per kg berat badan. Ada yang letak 2-3g per kg berat badan. Ini bergantung pada latihan anda.

Pucuk pangkalnya, anda kena seimbang dalam pemakanan dan lebihkan mengikut keperluan badan. Jangan terikut-ikut orang kerana kita semua berbeza. Asasnya sama, tetapi perjalanannya lain.

Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)

Komen Facebook