Mesti anda selalu dengar orang kata kalau nak besar kena squat. Nak biceps besar pun kena squat. Tetapi, apakah kaitan squat dengan biceps?

Bila difikirkan, memang tiada kaitan yang terus. Mana tidak, satu bahagian tangan dan satu bahagian kaki. Melainkan anda squat guna biceps, barulah ia memberi kaitan dan masuk akal.

Sebenarnya, ia bukan berkaitan begitu. Sebaliknya, squat membantu dalam pembinaan biceps, malah semua otot, untuk menjadi lebih besar. Squat yang berat akan melakukan dua perkara pada badan anda iaitu peningkatan rembesan hormon testosteron dan juga menguatkan otot teras (core).

Hormon testosteron ialah hormon yang sangat penting untuk membina badan! Inilah dikira sebagai hormon ajaib anda. Hormon yang lain banyak pun, kalau hormon yang ini kurang memang tidak menjadi. Testosteron boleh dipengaruh melalui pemakanan, latihan, dan gaya hidup kita. Senang kata, semakin aktif dan semakin berat latihan kita, maka semakin banyak juga rembesan hormon testosteron ini.

Kuatnya squat membawa kepada kuatnya core dan ini membenarkan kita untuk melakukan latihan kompaun yang lain dengan lebih berat. Senaman rowing memerlukan core yang kuat dan ia bukan sahaja melatih back, malah biceps turut mendapat tempias. Nah, dari sinilah dikatakan squat membantu pembinaan biceps!

Oleh itu, jangan tinggalkan latihan squat anda. Sentiasa lakukan squat dengan teknik yang betul dan jangan gunakan bebanan yang tidak mampu anda kawal.

Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)