Bolehkah Turunkan Berat Tanpa Berdiet?

Jika anda bersedia untuk menurunkan berat badan tetapi tidak mahu mengikuti mana-mana program diet, tidak mengapa. Lakukan beberapa perubahan kecil ini di dalam rutin seharian anda. Ia akan membantu anda mengurangkan kalori dan menurunkan berat badan tanpa disedari. Walaupun sesetengahnya agak clichè, kadangkala kita masih ‘terlupa’. Apakah ia, jom kita lihat.

 

Kurangkan minuman manis

Setiap kali makan di luar, kita sudah terbiasa pesan minuman manis. Daripada kita mengambil kalori yang tidak diperlukan ini, biasakan membawa botol air sendiri dan minum air kosong. Selain daripada mengurangkan pengambilan kalori, anda juga boleh berjimat. Kalau tidak pun, pesan sahaja minuman kurang manis atau tidak bergula seperti teh ais limau, air limau, air lemon dan lain-lain. Hadkan minuman manis kepada sekali sehari sahaja.

 

Ambil sarapan berkhasiat

Gandum penuh membantu anda merasa kenyang lebih lama berbanding karbohidrat ringkas (refined carbs). Mulakan hari anda dengan oatmeal atau roti gandum penuh. Selain itu, sarapan juga mungkin boleh membantu mengelakkan kesilapan kalori seperti selera makan yang tidak terkawal, saiz hidangan yang berlebihan dan pemilihan makanan yang kurang berkhasiat sewaktu makan tengah hari nanti – atau sepanjang hari tersebut. Jika anda tidak begitu lapar di waktu pagi, boleh jadi masa makan makan anda terlalu dekat dengan waktu tidur. Cuba tetapkan masa “off” untuk makan di waktu malam, contohnya berhenti makan selepas jam 8 malam.

 

Minum air secukupnya

Tak semestinya perlu menghabiskan 3 botol besar atau cukupkan kuota 8 gelas sehari. Sebabnya keperluan cecair setiap individu adalah berbeza mengikut jantina, saiz badan, aktiviti seharian, cuaca dan sebagainya. Yang penting dengari tubuh anda dan minum air secukupnya. Kadangkala, semasa kita rasa lapar, tubuh kita sebenarnya sedang memberitahu bahawa ia memerlukan air. Jadi lain kali kalau tiba-tiba rasa lapar, cuba minum air dulu.

 

Makan sayur

Dalam sehari, sekurang-kurangnya mesti ada satu hidangan sayur dalam pemakanan anda. Sayur-sayuran dan buah-buahan  kaya dengan nutrisi dan rendah kalori. Kumpulan makanan ini juga kaya dengan sumber fiber, jadi ia akan membantu anda merasa cepat kenyang dan melancarkan sistem penghadaman. Kalau boleh, jangan kupas kulit buah-buahan segar kerana ia mengandungi fiber yang tinggi.

 

Pilih makanan yang melambatkan rasa lapar

Telur, daging tanpa lemak, ayam tanpa kulit dan produk tenusu rendah lemak adalah pilihan protein yang berkualiti tinggi. Snek seperti yogurt, telur rebus, string cheese dan hirisan ayam adalah pencetus tenaga yang berkesan dan menghilangkan rasa lapar.

 

Dapatkan tidur yang cukup

Rehat yang cukup akan mempengaruhi program berat badan anda kerana mereka yang tidak cukup tidur cenderung untuk memilih makanan yang berlemak tinggi. Apabila cukup rehat, anda akan rasa lebih bertenaga untuk menjalani sebarang aktiviti fizikal, termasuklah bersenam.

 

Entri: Tini Lorna Lim

Komen Facebook