Kalau asyik buat benda sama, memang membosankan. Lagi-lagi kardio bagi abang sado, memang bukan kegemaran langsung. Siapa yang suka dan konsisten kardio seperti berjogging, baguslah! Kalau yang tak suka dan anda paksa macam mana sekali pun, memang tak jalan. Macam mana nak selesaikan masalah ini?

 

Orang yang main besi di gym biasanya tak suka buat benda sama berpanjangan. Seperti berjogging, anda hanya berlari tanpa henti untuk berpuluh-puluh minit. Ada yang sampai berjam-jam. Kebanyakan abang sado lebih suka kepada rutin yang tidak mengambil masa lama untuk berkesan.

 

Tahu tak, anda boleh bakar lemak tanpa perlu berjogging sampai berjam-jam? Anda kena amalkan senaman berintensiti tinggi yang buat anda tercungap-cungap. Mungkin anda dah biasa dengar Admin berleter pasal ini, jadi Admin nak kongsikan terus senaman yang sesuai dengan tujuan yang sama.

Pernah dengar tentang bear crawl? Anda perlu merangkak sahaja, dan itulah senamannya. Merangkak tanpa meletakkan lutut atas lantai. Maksudnya, tapak tangan dan kaki sahaja yang sentuh lantai, yang lain pastikan terkawal dan neutral, lagi-lagi tulang belakang anda.

 

Ada coach yang mengajar suruh buat laju-laju, tetapi ini mendorong kepada pergerakan yang salah. Biomekanik yang salah akan merosakkan badan anda lama-lama nanti. Oleh itu, buat perlahan-lahan dan sasarkan kepada jarak, bukannya masa terpantas. Anda juga boleh buat secara masa terlama merangkak. Orang pandang pelik dalam gym, tetapi yang kurus nanti anda, bukan mereka.

 

Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)