Anda ada masalah kaki tak kuat? Orang panggil anda punggung papan? Nak squat dengan lebih berkesan?

Jawapan kepada masalah-masalah anda ialah senaman bridge! Senaman ini kerap terlihat dalam program latihan rehabilitasi. Siapa pernah ke pusat fisioterapi, kemungkinan besar pernah nampak senaman ini.

Sasaran senaman ini ialah otot punggung, tetapi ia turut menguatkan kaki dan belakang. Sebab itu, anda boleh lihat sesetengah ahli fisioterapi memberikan senaman ini bagi pesakit yang mengalami masalah lutut ataupun tulang belakang (pinggang).

Semudah baring dan mengangkat punggung sahaja. Bagi proses rehabilitasi, ia dilakukan dalam bentuk latihan strength. Untuk yang memang sedia ada sudah kuat, bridge dilakukan sebagai inisiatif untuk mengaktifkan otot sebelum senamam berat.

Pernah rasa tak senaman anda buat kurang tenaga atau badan tak “kukuh” waktu angkat berat? Ini berlaku mungkin sebab otot anda belum sedia. Bagi mengaktifkan otot, lakukan beberapa senaman tertentu. Antaranya ialah bridge yang akan bantu aktifkan otot terlibat dalam senaman squat, lunges, deadlift, dan lain-lain. Asasnya, kalau anda nak squat dan deadlift, cuba lakukan senaman tersebut.

Dalam masa yang sama, akan ada banyak variasi senaman bridge. Perlukah anda lakukan semua? Semestinya tidak. Ia bergantung pada situasi. Ramai dah boleh dapat manfaat yang cukup dengan melakukan bridge asas.

Jika anda ingin tambahkan intensiti, anda boleh ikat lutut anda dengan resistance band bagi mengaktifkan otot gluteus dengan lebih tinggi. Jika anda nak kuatkan adductor, letak dan kepitkan sesuatu (samada bola atau tuala) antara lutut sepanjang senaman bridge dilakukan.

Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)