Pernah dengar bunyi ‘pop’ atau ‘krek’ semasa anda bergerak? Biasanya bunyi tersebut datang dari sendi bahu, lutut, jari dan pergelangan kaki. Keadaan ini disebut sebagai ‘crepitus’. Walaupun bunyinya agak membimbangkan, tidak semestinya ia menandakan terdapat masalah pada sendi. Lebih-lebih lagi, jika tiada rasa sakit. Kemungkinan besar ia hanya disebabkan oleh tisu-tisu lembut di dalam sendi.

Sebagai contoh, bunyi gemeretak yang datangnya daripada lutut mungkin disebabkan oleh kedudukan tempurung lutut (patella) yang sedikit lari daripada alignment. Jadi apabila digerakkan, akan bergeser pula dengan tisu lembut yang ada di situ. Otot yang ketat juga boleh menghasilkan bunyi apabila bergeser dengan tulang. Dalam kes sebegini, sesi regangan yang berkala akan mengurangkan masalah tersebut.

Selain itu, bunyi tersebut juga terhasil oleh peronggaan (cavitation) di dalam sendi. Begini, apabila terdapat perubahan tekanan dalam sendi, sejumlah gas yang telah larut di dalam cecair sinovia akan dibebaskan dan membentuk gelembung udara atau rongga (majoriti gas yang terkandung di dalam gelembung tersebut ialah karbon dioksida). Apabila sendi ditutup dengan cepat, maka bunyi ‘pop’ akan terhasil.

Crepitus juga akan menjadi semakin ketara kepada mereka yang telah berumur. Hal ini kerana, rawan akan semakin terhakis dan permukaannya juga menjadi kasar. Sebab itulah ia menghasilkan bunyi apabila bergeser. Walau bagaimanapun, semua ini adalah sebahagian daripada proses penuaan yang normal.

Selagi crepitus yang dialami tidak menyakitkan, tiada apa yang perlu dibimbangkan. Anda hanya memerlukan sesi regangan, latihan bebanan dan lain-lain bagi meningkatkan kekuatan sendi. Kekuatan otot yang meningkat juga akan membantu mengurangkan tekanan pada permukaan sendi.

Jika bunyi sendi disusuli oleh rasa sakit pula, kemungkinan terdapat kerosakan pada permukaan sendi atau tisu lembut di sekitarnya. Sebagai contoh, koyakan pada ligamen atau meniscus yang longgar. Kerosakan struktur sendi wajar diberi perhatian dan dapatkan pengesahan perubatan dengan segera sebelum masalah tersebut melarat.

 

Entri: Tini Lorna Lim