Jangan pening-peningkan kepala nak lakukan latihan apa untuk bahagian kaki. Anda buat cabaran ini, anda akan rasa tak nak balik dari gym. Bukan sebab seronok, tapi kaki anda sedang merajuk sebab anda seksa mereka.
Baguslah seksa otot selagi mereka mampu sebab itu yang akan rangsang otot untuk membesar. Ingat, dalam kemampuan. Kalau teruk sangat lunyai, itu pun akan mengganggu kenaikan otot.
Cabaran ini juga merangsang rembesan hormon-hormon penting untuk bina badan, seperti hormon testosterone, growth hormone, dan lain-lain. Kenapa? Cabaran ini menaikkan adrenaline kerana anda perlukan sedikit semangat nak habiskan cabaran tersebut.
Cabaran cukup mudah, dan mungkin sekali cukup buat cabaran ini sahaja untuk leg day. Tak perlu buat yang lain kalau dah cukup, kan? Jadi, jimat masa. Kalau tak cukup, anda kena tambah berat sahaja.
Apakah cabarannya? Anda kena buat 50 rep dengan menggunakan bebanan seberat berat badan anda di atas bahu. Ya, gunakan senaman barbell squat untuk cabaran ini. Letak bebanan seberat berat badan, dan kemudian lakukan squat sebanyak 50 rep.
Apabila otot anda membesar, berat badan anda akan meningkat. Secara tak langsung anda kena tambah juga berat bebanan squat yang anda guna. Di sinilah teraplikasinya konsep progression untuk bina badan.
Percayalah, anda tak boleh buat 50 rep sekali jalan untuk sesi pertama anda. Buat seberapa banyak rep anda mampu, rehat selama mana anda perlu, tetapi habiskan juga 50 rep keseluruhan. Dari minggu ke minggu, sasarkan 50 rep dalam 1 set.
Matlamat tersebut hampir mustahil untuk dicapai. Nota, hampir sahaja kerana apabila anda bertambah kuat, berat badan anda sentiasa meningkat dan otot anda bertambah. Bebanan squat bertambah-tambah. Inilah cabaran termudah dan paling efektif!
Entri: Aiman Radzi