Daya ketahanan otot merujuk kepada keupayaan otot atau sekumpulan otot untuk menguncup berulangkali dalam tempoh masa yang lama. Ia merupakan salah satu daripada 5 komponen kecergasan selain daripada daya ketahanan kardiovaskular, kekuatan otot, kuasa otot, kelenturan (fleksibiliti) dan komposisi tubuh.

 

Jenis-Jenis Daya Ketahanan Otot

Latihan kekuatan: Merujuk kepada jumlah reps (ulangan) yang boleh dilengkapkan tanpa berhenti rehat. Sebagai contoh, berapa banyak reps yang anda boleh buat semasa latihan squat atau bicep curl, dengan bebanan ringan dan sederhana, tanpa menjejaskan postur tubuh.

Latihan kardiovaskular: Jenis ketahanan otot yang digunakan semasa latihan kardio seperti larian pecut, berenang dan berbasikal, biasanya dirujuk sebagai daya tahan kardiovaskular atau daya tahan kardiorespiratori. Latihan daya tahan sebegini membina sistem janakuasa tenaga dalam tubuh, yang membantu fiber otot dan saluran kapilari untuk terus bertahan dalam tempoh masa yang lama, seperti dalam sukan maraton atau berbasikal jarak jauh.

 

Ujian Daya Tahan Otot

American College of Sports Medicine menyarankan ujian daya tahan serta kekuatan otot kepada individu yang baru sahaja memulakan program latihan kekuatan. Keputusan ujian akan membantu pelatih kecergasan untuk menetapkan intensiti dan bebanan yang sesuai.

Push-up test biasanya dilakukan bagi mengukur tahap ketahanan otot atasan (upper body muscle). Lelaki akan buat basic push-up, manakala wanita pula modified version. Dalam ujian ini, anda akan melakukan senaman push-up sebanyak yang mungkin sehingga postur mulai terjejas. Ujian ini juga boleh dijalankan mengikut rangka masa yang tertentu. Sebagai contoh, lakukan senaman push-up sebanyak yang boleh dalam masa seminit. Sesi pemanasan badan adalah langkah yang penting sebelum memulakan ujian. Keputusan ujian pula akan dibandingkan mengikut kategori umur dan jantina. Selain itu, anda juga boleh memantau peningkatan (atau penurunan) daya tahan otot dengan melakukan push-up test setiap 8-12 minggu.

 

Entri: Tini Lorna Lim