Sudahkah anda mula bersenam semula selepas dah lama berehat kerana berpuasa di bulan Ramadhan yang lepas? Ataupun, anda dah berhenti melakukan senaman sejak awal PKP lagi? Tak kiralah anda berhenti bila, tapi ramai mengalami satu masalah yang sama iaitu susah untuk memulakan kembali.

Momentum yang anda dah bina selepas konsisten bersenam sekian lama kini pudar. Perasaan nak kembali workout dah tak sama seperti dulu. Pegang besi di rumah atau buat home workout pun orang kata tak rasa kick dia lagi berbanding kalau kita bersenam dengan mengangkat besi di gym. Suasana yang berbeza mempengaruhi semangat kecergasan kita.

Anda masih belum terlambat untuk memulakan senaman di rumah. Jika anda masih nak menunggu, tidak mengapa kerana kami nak kongsikan beberapa tips yang anda boleh amalkan nanti:

1- Mulakan dengan sesuatu yang mudah

Kalau dulu anda boleh angkat berat-berat, boleh bersenam lama-lama, sekarang pasti akan rasa berbeza. Jangan risau sebab anda ada muscle memory. Jika dulu anda nak jadi kuat makan masa 5 tahun, kini anda hanya perlukan beberapa minggu sahaja untuk kembali seperti yang dulu. Dengan syarat, anda mula dengan sesuatu yang mudah. Jangan terus hentam dan lenjan cukup-cukup!

2- Cuba untuk 5 minit dahulu

Untuk home workout, yang paling susah adalah untuk kekal komited dengan senaman yang anda buat. Rutin senaman home workout tidaklah digemari oleh ramai orang, lebih-lebih lagi jika mereka sebelum ini dah terbiasa dengan senaman di luar dan senaman mengangkat besi di gym. Apa yang anda kena buat adalah cuba lakukan satu rutin untuk 5 minit dahulu. Biasanya, kalau dah mula senang sahaja nak teruskan. Part nak mula sahaja yang susah.

3- Fokus pada hasil, bukan pada rasa

Ramai yang mengalah untuk memulakan semula senaman adalah kerana “rasa dah tak sama macam dulu”. Inilah silap yang paling mengganggu orang ramai, kerana mereka kesal dah tak boleh beraksi seperti dahulu. Cuba anda fokus kepada hasil kepada senaman yang anda lakukan. Ingat kembali kenapa anda bersenam dan apa yang ada kecapi daripada senaman. Lama-lama, “rasa” yang lama akan kembali semula. Buat dahulu, hasil kemudian!

4- Cari kawan

Nak mula seorang boleh jadi susah, nak mula dengan kawan pun susah juga kalau kawan jenis tak konsisten. Tetapi, apabila ada kawan yang turut meminati aktiviti yang sama, tak adalah rasa sendu sangat untuk meneruskan senaman. Cari workout partner yang sama level dengan anda dan tetapkan komitmen untuk sama-sama konsisten melakukan senaman dan latihan.

5- Anda nak sihat untuk anda, bukan orang lain

Senaman yang anda lakukan adalah untuk kebaikan diri anda sendiri, bukan untuk orang lain. Apabila anda workout, anda yang dapat manfaat. Tak ada lagi teknologi Wifi, hotspot, atau Bluetooth yang membenarkan manfaat senaman anda dipindahkan kepada kesihatan orang lain. Jika anda yang workout, anda yang sado, bukan orang lain. Ingat pesanan ini dalam diri setiap kali berasa malas nak workout.