Nakkan bentuk badan yang lebih ramping seakan-akan bentuk V? Ramai inginkan bentuk yang sama sebab ia menampakkan anda mempunyai back yang lebih lebar, sekali gus mencantikkan lagi bentuk badan anda. Macam mana nak buat? Anda kena banyak buat vacuum!
Vacuum rumah itu satu benda, eloklah vacuum rumah selalu supaya kurang habuk dan rumah nampak sentiasa kemas. Tetapi, yang kita maksudkan ialah senaman vacuum yang melatih otot perut anda. Untuk lebih tepat lagi, melatih otot TVA (Transverse Abdominis).
Ada tiga jenis vacuum yang anda boleh buat. Mari kita lihat;
Supine Vacuum
Supine bermaksud anda akan melakukan senaman ini dalam keadaan baring terlentang. Bengkokkan lutut anda supaya tapak kaki rapat ke tanah. Kemudian, hebuskan habis udara yang ada dalam perut anda. Selepas itu, tanpa menarik nafas yang panjang semula (tarik sedikit sahaja jika perlu), bayangkan anda ingin benamkan pusat anda ke lantai di bawah anda. Maksudnya, tarik perut ke dalam. Lagi banyak anda tarik, lagi kuat otot TVA berkerja.
Quadruped Vacuum
Maksud quadruped di sini pula ialah anda akan buat senaman vacuum dalam posisi seperti merangkak. Anda akan berada dalam posisi seperti bayi yang boleh merangkak menggunakan lutut dan tangan, boleh bayangkan? Kalau yang tadi, perut anda menghala ke atas, sekarang perut anda menghala ke bawah. Jadi, anda akan lakukan cara vacuum yang sama, cuma kali ini ia melawan graviti (lagi susah).
Seated Vacuum
Ini adalah variasi vacuum yang boleh dilakukan di mana-mana, hatta dalam kereta sewaktu sedang tunggu lampu isyarat bertukar menjadi hijau sekali pun. Cara perlaksanaannya semua sama. Yang berbeza adalah posisi anda melakukannya. Untuk yang ini, anda hanya perlu duduk sahaja dan sedut perut anda ke dalam. Kunci kepada vacuum adalah untuk menghembus nafas dahulu, baru tarik perut ke dalam. Anda tidak perlu menahan nafas selepas sedut perut, boleh sahaja ambil nafas tapi sedikit-sedikit. Yang penting, anda keras kan perut sepanjang senaman dalam posisi tertarik ke dalam.