Ramai orang mempunyai masalah untuk menentukan diet jenis yang manakah sesuai untuk badan mereka bagi membakar lemak atau membina otot. Meskipun kita dah ikut cadangan otai-otai, kadang-kadang masih tak menjadi.
Kenapa jadi begini? Sebab setiap orang berbeza-beza. Tak semestinya teknik Ahmad akan berkesan pada Abu. Asas memang sama, tetapi yang sikit-sikit nak kena adjust, itu yang kita kena cari sendiri untuk diri kita.
Untuk pemula, mesti anda pernah terdengar pelbagai jenis diet. Tak perlu kata diet, terma dalam fitness pun dah pening kepala dengar. Kalori lah, mikronutrien, makronutrient… apa benda semua ini sebenarnya?
Yang itu, anda boleh baca juga di website ini kerana ada banyak lagi tips yang dah menerangkan tentang terma-terma asas ini, terutamanya dalam kategori nutrisi.
Untuk diet pula, kita ada diet seperti IF (intermittent fasting), diet keto, diet Atkins, dan macam-macam lagi. Yang mana satu sesuai untuk anda?
Saya nak bantu anda dengan memberikan 3 tips yang anda boleh amalkan untuk tahu diet mana yang sesuai dengan anda:
1- Simpan diari makanan
Jangan ingat diari untuk tulis pasal hari anda sahaja! Makanan pun boleh ada diari. Apa sahaja yang anda makan, tuliskan dalam sebuah buku.
Tak mahu guna buku pun tak ada masalah, sekarang ini zaman teknologi. Anda boleh tulis dalam telefon pintar anda. Orang kata, nak taknak buat sahaja.
Apabila anda menulis setiap makan yang anda makan, barulah anda tahu yang anda sebenarnya banyak atau tidak makan makanan tidak sihat, banyak atau tidak minum minuman yang bergula tinggi.
Tuliskan juga masa anda makan kerana ini sangat membantu untuk anda susun jadual pemakanan anda nanti.
2- Jadual makanan
Seperti yang ditulis di atas, anda kena tulis masa makan anda kerana sekarang anda dapat tahu sesuatu yang penting. Kini, anda tahu kebanyakan kalori yang anda makan disumbat pada waktu bila.
Mungkin anda banyak makan pada masa-masa tertentu sahaja, di mana jarak masa antara waktu makan anda adalah panjang. Kalau begini, anda sesuai amalkan IF.
IF ialah teknik diet yang sebenarnya sangat sama dengan berpuasa. Bezanya adalah masa dan niat. Kalau berpuasa di bulan Ramadhan, kita berpuasa di siang hari. IF biasanya puasa malam sampai ke tengahari esoknya.
Boleh sahaja kalau anda nak amalkan puasa yang biasa, pahala pun boleh dapat.
3- Tukar makanan tidak seimbang
Dalam diari anda juga yang anda tuliskan tadi, anda sekarang kena tentukan makanan apa yang patut anda singkirkan daripada diet anda.
Kita boleh kata yang kita makan secara clean, secara seimbang sebab manusia akan cakap sesuatu yang dia percaya betul bagi dia. Kalau dah tulis dalam buku dan ada bukti terang nyata yang kita tak makan clean pun, baru sedar diri sikit nak berubah pemakanan tu…
Pilih dan amalkan makanan yang seimbang. Bukan tak boleh makan makanan kegemaran anda yang tidak berapa sihat, tetapi berpada-pada dengan pilihan makanan anda.