Diet pantas, yang juga disebutkan sebagai ‘fad diet’ atau ‘crash diet’, sentiasa menjanjikan hasil lumayan dalam masa yang singkat, sehingga ada yang boleh turunkan berat sampai 5 kg dalam masa 3 hari sahaja. Mengapa trend diet pantas merugikan kita? Berat yang hilang itu sebenarnya berat air, bukannya lemak. Bermakna ia tidak kekal lama. Diet sebegini juga boleh menyebabkan kehilangan jisim otot. Ini merupakan satu kerugian yang besar kerana otot adalah antara komponen yang paling penting dalam pembakaran kalori. Selain itu, diet pantas juga sering digelar sebagai “yo-yo diet”. Proses naik-turun-naik berat badan boleh membawa kepada risiko kesihatan seperti penyakit batu karang. Antara diet pantas yang berbahaya adalah;
- Military diet – Boleh turunkan berat sampai 5 kg dalam masa 3 hari (tiada kaitan dengan tentera pun).
- Gluten-free diet – Mulanya diet ini dikhaskan bagi pesakit celiac disease dan mereka yang alah terhadap gluten. Namun, semakin ramai yang menjadi pengikut diet ini walaupun mereka tidak mempunyai masalah dengan gluten.
- Liquid diet – Seperti namanya, diet ini mengecualikan makanan, sekaligus menjadikannya diet yang ekstrem. pengamalnya menggantikan makanan dengan pelbagai sumber cecair seperti jus, smoothies, sup kosong dan lain-lain.
- Miracle diet – Juga dikenali sebagai Hollywood diet, ia melibatkan pemakanan buah atau jus buah sahaja, dalam tempoh 48 jam.
Namun ada juga yang berkesan:
Memang ada program diet komersial yang merangsang penurunan berat dengan cepat seperti Atkins diet dan The South Beach diet. Ramai yang berjaya menurunkan berat yang banyak pada peringkat awalnya. Namun, kesan ini tidak berkekalan. Lama-kelamaan kadar penurunan akan menjadi perlahan dan program diet ini juga sukar diikuti untuk tempoh masa yang lama.
Maka sebab itulah penurunan drastik ini harus diikuti dengan program jangka panjang yang memfokuskan kepada pemakanan sihat serta senaman bagi menurunkan berat badan dalam kadar yang lebih realistik dan selamat (kira-kira 0.5-1 kg seminggu).
Perubahan pemakanan yang diperlukan untuk menurunkan berat dengan cepat adalah sukar untuk dikekalkan dan selalunya kurang menyihatkan. Walaupun terdapat sesetengah daripadanya yang berkesan, tetapi ia hanya di peringkat awal sahaja. Sampai satu tahap nanti, kesannya akan menjadi perlahan.
Entri: Tini Lorna Lim