Flat Abs vs Strong Abs

Memulakan rutin senaman bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, ramai yang tetap bersemangat dan meneruskan usaha demi mencapai matlamat masing-masing. Salah satu matlamat tersebut sudah tentulah untuk mencapai bentuk badan yang diinginkan – antaranya ialah six-packs abs atau sekurang-kurangnya perut yang langsing. Di dalam artikel kali ini, kita akan melihat jauh melangkaui ratusan crunches, six-packs, dan menemukan bahawa keupayaan abdomen tidak hanya terbatas kepada keterampilan semata-mata.

 

Hakikat Mengenai Abdomen

Mitos senaman telah wujud selama berdekad lamanya, dan senaman abdomen juga tidak terkecuali daripadanya. Melengkapkan diri dengan serba sedikit fakta mengenainya akan membantu anda dalam mencapai matlamat yang lebih realistik dan mengelakkan kesilapan yang merugikan.

  • Senaman abs tidak menghasilkan six-packs. Malahan, satu kajian yang diterbitkan di dalam Journal of Strength and Conditioning menemukan bahawa melakukan senaman abs selama 6 minggu, tanpa sebarang jenis senaman lain, langsung tidak mengurangkan lemak di perut.
  • Genetik juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan keupayaan individu untuk mendapatkan perut yang langsing. Wanita terpaksa bekerja lebih keras kerana mereka cenderung untuk menyimpan lebihan lemak di bahagian perut, terutamanya selepas tempoh menopause.
  • Perut six-packs menjamin keterampilan yang menarik, tetapi otot abdomen yang kuat akan melindungi dan menyokong tulang belakang agar dapat mengelakkan sakit pinggang dan kecederaan.

 

Kelebihan Otot Abdomen Yang Kuat

Memfokuskan kepada kekuatan abdomen bermakna kita harus memahami dulu kelebihan memiliki otot abdomen yang kuat.

  • Otot abdomen yang kuat adalah penting bagi mengelakkan sakit pinggang dan kecederaan.
  • Otot abdomen menstabilkan torso untuk mengekalkan postur tubuh yang baik.
  • Rutin seharian kita sentiasa melibatkan aktiviti seperti duduk, berdiri, berjalan, membongkok, menjangkau, mengangkat dan lain-lain. Semua ini melibatkan otot abdomen dan belakang sekali. Jika kedua-dua otot tidak kuat dan seimbang, kita akan terdedah kepada risiko sakit pinggang (lower back pain).
  • Transverse abdominis (TVA) seringkali terlepas pandang kerana ramai yang hanya fokus kepada otot six-packs iaitu, rectus abdominis. Walhal, otot TVA sangat penting untuk kefungsian sehari-hari. Otot ini mengelilingi tulang belakang, sekaligus memastikan kestabilan tulang belakang yang maksimum.

 

Manfaatkan Senaman Abs Sebaik Yang Mungkin

  • Pilih 5-10 senaman yang mengerjakan kesemua otot teras, TVA, internal + external obliques, rectus abdominis dan lower back. Selitkan sekali senaman yang melibatkan pergerakan flexion, rotation dan senaman isometrik.
  • Lakukan senaman lantai dan standing abs exercise bagi mencapai kekuatan serta kefungsian yang baik di dalam rutin abs.
  • Lakukan 1-3 set dengan 8-16 reps untuk setiap senaman, 3-5 hari seminggu.
  • Lakukan setiap senaman dengan pergerakan yang perlahan dan terkawal. Jika dilakukan dengan pantas, ia akan melibatkan momentum dan menjadikan senaman tadi kurang efektif. Boleh tambahkan bebanan atau rintangan dalam senaman jika anda perlu meningkatkan intensiti.
  • Jangan lupakan latihan kardio, latihan kekuatan serta regangan untuk hasil yang terbaik.
  • Jaga pemakanan dan juga pengambilan kalori untuk melengkapkan satu program senaman yang terbaik.

 

Akhir kata:

Mencapai six-packs memerlukan kerja keras serta masa anda. Walaupun hasilnya lambat, namun dalam masa itu anda boleh menikmati kelebihan daripada otot abdomen yang semakin kuat.

 

Entri: Tini Lorna Lim

Komen Facebook