Hypertrophy: Benda Penting Dalam Bina Badan

Muscle hypertrophy bermaksud pertumbuhan dan peningkatan saiz sel-sel otot. Keadaan ini lazimnya terjadi hasil daripada senaman fizikal termasuklah latihan bebanan (weight training).

Semasa mengerjakan sesuatu otot, saraf impuls (nerve impulse) akan meningkat dan menyebabkan otot menguncup atau memendek. Ini sahaja sudah cukup meningkatkan tahap kekuatan walaupun tiada perubahan pada jisim otot. Apabila anda teruskan rutin senaman selama beberapa bulan, kadar sintesis protein akan meningkat dan sel-sel otot akan mulai membesar dan menjadi lebih kuat.

Terdapat 2 komponen penting dalam proses pembesaran otot – ransangan dan pemulihan. Ransangan berlaku semasa penguncupan otot atau semasa bersenam. Setiap kali mengerjakan otot, penguncupan akan berlaku. Fasa penguncupan yang berulang kali akan menyebabkan koyakan mikro  (micro tear) pada fiber otot dalaman. Fiber otot ini akan diuraikan sepanjang sesi senaman sebelum melalui proses pemulihan pula.

Pemulihan otot berlaku selepas sesi senaman, ketika otot berada dalam keadaan rehat. Fiber otot yang baharu akan dihasilkan bagi menggantikan fiber otot yang telah rosak dan di sinilah pembesaran otot akan berlaku.

 

Impak Genetik Terhadap Hypertrophy

Walaupun proses hypertrophy adalah sama bagi semua orang, namun hasilnya akan berbeza-beza mengikut individu. Hal ini disebabkan oleh faktor genetik otot. Bagi sesetengah orang, proses pembesaran otot akan berlaku lebih cepat dan lebih besar daripada yang lain, walaupun mereka melakukan pelan senaman yang sama.

Lagi satu, bentuk dan penampilan otot juga dipengaruhi oleh faktor genetik. Bentuk otot akan ditentukan oleh kepanjangan tendon otot. Tendon otot yang lebih pendek akan menghasilkan otot yang lebih besar berbanding tendon yang lebih panjang. Namun jangan biarkan fakta ini mematahkan semangat anda. Bukan bermakna tendon yang panjang takkan menghasilkan otot yang besar. Seperti yang disebutkan tadi, hasilnya akan berbeza mengikut individu, samada cepat atau lambat, lebih besar atau tidak dan bentuk otot. Lagi pula, hasil yang baik daripada latihan pembesaran otot bukan sahaja ditentukan oleh faktor genetik, tetapi tahap dedikasi anda juga.

 

Entri: Tini Lorna Lim

Leave a Comment