Kenapa kalau nak kurus mesti kena makan sikit? Kalau makan banyak, tak boleh kurus ke? Secara logiknya, memanglah begitu. Tetapi “sikit” itu sebenarnya perlu diukur. Kita tak mahu sampai kebuluran.
Untuk lebih tepat lagi, anda kena makan ikut keperluan badan anda. Jangan ikut gaya diet orang lain. Anda kena tahu badan anda perlukan banyak mana, ikut badan anda. Tips yang orang lain bagi hanyalah panduan, bukannya jawapan. Mereka berikan tips yang berkesan untuk mereka, anda kena ubah suai supaya bersesuaian dengan anda.
Sebenarnya, nak kurus memerlukan makanan yang banyak. Kerana apa? Makanan-makanan ini akan dijadikan sebagai tenaga untuk anda berlatih dan bersenam bagi mengekalkan jisim otot di samping membakar lemak. Anda kena kurangkan kalori, bukannya kurang makan. Macam mana anda nak makan banyak tetapi dalam kuantiti kalori yang sedikit? Lebihkan makanan-makanan padat seperti sayur-sayuran.
Lagipun, bukankah banyak sangat makanan lain yang anda kena kurangkan. Kalau biasa anda makan 2000 kalori, nak kurus mungkin hanya perlukan 1800 kalori sahaja. Nampak tak, bukanlah banyak sangat yang anda kurangkan! Anda boleh kurangkan 200 kalori secara mudah dengan tidak meminum minuman manis. Kemudian, anda boleh cuba kurangkan karbohidrat sedikit demi sedikit.
Akhir kata, nak kurus bukanlah sampai kena kebulur. Lakukan sesuatu dengan bijak dan berilmu, bukannya mengikut orang secara membuta tuli. Pastikan anda kira kemasukan kalori harian dan juga keperluan anda. Sesuaikan pemakanan anda dengan gaya hidup gaya.
Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)