Untuk membina otot, badan anda perlulah berada dalam kondisi terbaik untuk melakukan senaman. Ada kala, ada sesetengah senaman tidak sesuai dilakukan oleh kita, tapi sangat sesuai dilakukan oleh orang lain. Disebabkan orang kata senaman tersebut ialah senaman yang paling mantap untuk bina otot, kita paksa juga buat. Akhirnya, siapa merana?
Senaman bina otot mempunyai kriteria berbeza dengan senaman untuk bina kekuatan. Orang yang gilakan kekuatan lebih gemar memaksa diri meskipun berhadapan dengan risiko kecederaan kerana itulah proses menjadi kuat. Berbeza dengan senaman bina otot, anda melakukan senaman dan anda masih paksa diri, tetapi paksaan anda adalah untuk membina otot. Jadi, senaman anda hanya memaksa diri menahan sakit otot. Pernah rasa otot macam nak terbakar panasnya? Nak bina otot kena tahan sakit yang itu.
Tak kesah orang kata macam mana hebat senaman tersebut, kalau anda tak boleh lakukannya dengan selamat dan baik, ia bukan senaman untuk anda. Kalau anda belum miliki skill yang betul untuk buat senaman itu, ini hanya menggalakkan kecederaan. Sebagai contoh, anda tak reti nak posisikan tulang belakang dalam keadaan neutral, anda tak reti nak gerakkan tulang pinggul, dan anda tak reti nak kepit tulang belikat. Semua ini penting dalam senaman-senaman seperti squat, deadlift, dan bench press. Meskipun tak pandai, anda boleh belajar.
Ada sesetengah senaman lain memang tak sesuai dengan anda sebab isu-isu berkaitan kecederaan lampau atau bentuk badan anda. Contoh kecederaan yang menghalang anda melakukan sesetengah senaman ialah seperti slipped disc (herniated disc), angin pasang, dan masalah rotator cuff yang membuatkan bahu sakit apabila pressing.
Isu lain berkaitan bentuk badan ialah seperti tulang peha yang terlalu panjang menyebabkan anda kurang sesuai melakukan deep squat, jadi perlu diubah kepada parallel squat menggunakan gaya low bar. Contoh lain, orang yang bertangan panjang akan lebih sesuai melakukan sumo deadlift berbanding deadlift biasa yang ditawan oleh orang bertangan kurang panjang. Semua ini adalah komponen-komponen yang anda perlu ambil berat untuk senaman.
Bukan semua senaman adalah untuk anda. Oleh itu, kaji dahulu kenapa anda nak lakukan satu senaman. Apakah manfaatnya untuk anda, adakah ia membawa anda ke arah matlamat anda, dan bolehkah ia diubahsuai untuk memenuhi kehendak badan anda.
Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)