Jangan Workout Macam Orang Kena Sawan

Ada macam-macam jenis manusia dekat dalam gym. Ada yang baru mula, ada yang dah otai, ada yang berlagak macam otai. Biasanya, yang bermasalah adalah mereka yang kuat acah-acah. Harap anda bukan begitu.

Sering kali saya nampak di dalam gym, ramai workout macam orang kena sawan. Workout tak tentu hala ditambah dengan jeritan-jeritan seperti sedang didera sepasukan perisik. Apa yang mereka dapat?

Jerit, saya tak berapa nak kesah sangat sebab ia perkara normal kalau anda buat latihan intensiti tinggi. Janganlah menjerit kalau sekadar buat calf raise bodyweight. Biar berpada-pada dengan jeritan anda.

Yang saya nak tekankan ialah cara latihan macam orang diserang sawan. Senaman mereka tunggang-langgang. Teknik mereka bersepah dan pergerakan mereka tidak sekata. Sekejap bergerak macam ini, sekejap macam itu.

Pernah tengok orang buat bench press, sekejap sentuh dada, sekejap sentuh perut, sekejap tak sentuh langsung? Kalau squat pula, lutut bergoyang-goyang. Deadlift pun sama, badan membongkok dan menghentak-hentak bebanan.

Apa kata anda buat mengikut kemampuan diri dan menggunakan teknik yang lebih sempurna. Biar ringan dan perlahan tak apa. Teknik yang kemas membina lebih banyak otot berbanding teknik kelam kabut.

Bebanan yang ringan kalau dilakukan secara perlahan dan konsisten tekniknya akan mendatangkan kesan pump yang lebih baik serta berkesan. Sasarkan untuk buat 15-20 rep secara tempo terkawal.

Entri: Aiman Radzi

Komen Facebook