Dah lama tak buat senaman. Jogging pun tak, gym pun tak. Alang-alang dah tahun baru, kita bagi motivasi baru, matlamat baru. Orang kata, semangat tahun baru!

 

Esoknya, kita pergi buat senaman, tak kesah senaman gym, workout rumah, ataupun pergi perjogging. Balik daripada latihan rasa sedap sahaja badan. Yang tak sedapnya, esok kita rasa sakit habis satu badan. Nak pergi kerja pun susah dah sekarang. Menyesal? Tak perlu pun rasa menyesal.

 

Pernah tertanya atau tidak, kenapa anda berasa sakit-sakit otot selepas habis workout, atau selang beberapa hari kemudian? Adakah itu petanda anda tidak patut workout lagi, ataupun itu maksudnya workout anda berkesan?

 

Semasa anda berlatih dengan bebanan, anda menyebabkan otot-otot anda berkerja dengan keras sehingga mereka mengalami kecederaan mikro. Jangan takut dengan bunyi “kecederaan” kerana kecederaan mikro inilah yang kita mahukan dalam bina badan. Proses pemulihan badan kita akan memperbaiki kecederaan mikro ini supaya otot kita menjadi lebih besar dan kuat.

 

Macam kerja simenlah. Kalau rumah kita ada retak-retak di dinding, kita akan sapu simen dan dan bebe lapisan komponen lain untuk mengukuhkan semula struktur dinding tersebut. Kalau siapa suka DIY, pasti mereka tahu tentang epoxy. Itu kira sapuan untuk kuatkan semula bahan yang rosak.

 

Sama juga dengan badan kita. Bila ada kerosakan mikro sebegini, akan ada pada proses untuk menguatkannya kembali. Inilah proses yang penting untuk membesar dan menguatkan otot anda.

 

Tahap sakit yang diterima adalah sakit-sakit yang maksimum berlarutan dalam 5-6 hari sahaja. Dalam masa sakit itu, anda masih boleh berfungsi dengan baik (pergi ke kerja, buat urusan-urusan lain). Kalau selepas workout anda terus tak boleh berfungsi (seperti tak boleh berjalan, tak boleh luruskan tangan, tak boleh buat apa-apa) dan sakit ini berlarutan lebih daripada 2 minggu, anda kena dapatkan bantuan daripada doktor.

 

Tetapi, adakah sakit ini bermakna workout anda berkesan? Tidak semestinya, sebab ramai yang dah lama berlatih akan kurang rasa sakit walaupun sudah workout secara hardcore. Justeru, anda tidak patut jadikan sakit workout sebagai penanda aras kepada keberkesanan workout. Yang penting adalah prinsip ansur maju, iaitu workout anda bertambah susah dari sesi ke sesi yang lain.

 

Fokus kepada peningkatan prestasi dalam latihan anda. Dari semasa ke semasa, anda kena jadi makin kuat atau boleh bersenam lebih lama. Kalau tak ada peningkatan, kuranglah keberkesanan latihan anda.

 

Entri oleh: Aiman Radzi (@TheTherabeast)