Untuk membesarkan badan, anda kena makan lebih daripada keperluan kalori harian. Tak kisahlah jika anda rasa macam anda dah makan banyak, jika masih belum dapat membesarkan badan, maksudnya anda belum cukup makan.

Itu adalah perkara paling asas dalam pengurusan berat badan (weight management). Jika nak kurus, kena kurangkan kalori. Jika nak besarkan badan pula, kena lebihkan kalori. Tak ada rahsia dalam hal ini.

Orang kurus kebanyakannya akan berasa yang mereka dah makan banyak sehingga tak boleh nak sumbat lagi makanan ke dalam mulut mereka. Ayat yang biasanya akan keluar ialah mereka memiliki metabolisme yang tinggi.

Walhal, perkara sebenar yang susah betul untuk mereka telan (meskipun dah telan banyak makanan) ialah mereka tidak mendapatkan kuantiti makanan yang mencukupi. Lantas, soalan kedua keluar daripada mulut mereka iaitu “nak sumbat makanan macam mana lagi?”.

Usaha adalah lebih bernilai daripada alasan. Jika anda betul-betul nak besarkan badan, usaha untuk memperbanyakkan kalori anda. Tak tahu anda sedar atau tidak, ada banyak cara untuk tingkatkan pengambilan kalori harian, dan yang paling mudah adalah melalui pengambilan mass gainer.

Tetapi sebelum itu, buat begini dahulu. Cipta satu diari pemakanan untuk seminggu ini dan lihat berapa banyak yang (sebenarnya) anda makan setiap hari. Mungkin dengan penciptaan diari pemakanan sebegini, barulah anda sedar (dengan bukti depan mata) yang anda memang tak mendapatkan kalori yang cukup untuk menaikkan badan.

Hentikan idea yang menghantui diri anda di mana orang kurus seperti anda tak boleh nak besarkan lagi badan meskipun dah makan banyak. Jika anda dah nampak bukti yang anda sebenarnya tak cukup kalori, saya yakin anda akan ada semangat kembali untuk membina badan. Buat dahulu diari ini.