Kesan Kekurangan Tidur Dalam Bina Badan

Tidur ialah sebahagian penting daripada proses membina badan. Latihan penting, diet penting, tapi waktu tidur itulah yang akan membina otot, bukannya masa anda workout dalam gym!

Ini tidak bermakna anda dibenarkan tidur sepanjang hari, setiap hari, dan bangun untuk makan dan gym sahaja. Terlebih tidur pun ada kesan buruknya, tetapi Admin anggap semua yang membaca ini daripada golongan dewasa yang sudah berkerjaya. Hari-hari bangun untuk mencari sesuap nasi.

Tidur adalah seperti menekan butang reset. Waktu inilah badan anda cuba pulihkan apa yang rosak, imbangkan apa yang tidak stabil, dan berikan rehat pada fizikal serta mental. Paling penting, waktu tidur ialah masa badan anda rembes hormon testosteron untuk kenaikan otot.

Mereka yang tidur kurang daripada 4 jam mempunyai rembesan yang jauh lebih rendah berbanding yang tidur 8 jam. Anda perlukan info ini kerana anda nakkan kenaikan otot maksimum, bukan? Jadi, kurangkan tidur lewat malam kerana banyak menggunakan telefon bimbit menonton itu dan ini, meleretkan jari ke atas untuk melayari aplikasi Instagram, dan lain-lain.

Kekurangan tidur bukan sahaja menyebabkan rembesan hormkn testosteron berkurang, malah ia juga memberi kesan pada sensitiviti insulin. Bagi yang tak tahu, insulin ialah sejenis hormon yang bertindakbalas dalam kitaran gula badan. Anda makan banyak gula, insulin meningkat untuk serapan gula tersebut. Kalau insulin tak sensitif, itu yang menyebabkan gula banyak berlegar dalam darah dan menyebabkan gejala kencing manis.

Sasaran anda adalah untuk dapatkan 8 jam tidur semalam. Jika kerja anda tidak membenarkan hidup anda dapat tidur 8 jam berterusan, maka pecahkan tidur anda kepada beberapa pecahan untuk dapatkan 8 jam tersebut. Yang lagi penting ialah kualiti tidur itu. Kalau anda pecahkan waktu tidur anda, pastikan setiap waktu tidur adalah yang lena dan tidak terganggu. Ingat juga supaya tidak terlajak tidur kerana ini akan ganggu kitaran tidur anda.

Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)

Komen Facebook