Semasa di gym, masing-masing bebas melakukan apa-apa jenis senaman mengikut matlamat dan keinginan anda. Daripada senaman ringan hingga senaman berat itu terserah kepada anda. Namun di suatu masa anda terpaksa mengangkat suatu bebanan pada tahap maksima. Ianya bergantung kepada anda sama ada anda mampu atau tidak.

Pada kali ini saya akan berkongsi suatu senaman yang menjadi pemudah kepada senaman lain atau dengan kata lain, jika anda lakukan senaman ini dahulu anda akan lihat perbezaan pada senaman-senaman lain.

Apa itu?

Ianya adalah squat. Kebanyakan individu seringkali mengabaikan senaman ini kerana bagi mereka senaman ini hanya untuk kaki sahaja.
Jadi, mengapa saya katakan senaman ini adalah senaman pemudah? Ini sebabnya.

1. Bina seluruh otot dalam badan.

Anggapan sesetengah orang yang mengatakan bahawa squat adalah senaman kaki atau lower body sahaja adalah salah. Sebaliknya bila kita lakukan senaman ini, ia sebenarnya mencetuskan hormon testosteron dan hormon tumbesaran yang amat penting dalam membina muscle mass. Hormon ini akan dirembeskan ke seluruh badan kita menyebabkan bahagian atas badan juga terlibat dengan pembentukan otot semasa squat. Jadi ianya menguatkan upper body dan lower body sekaligus.

2. Mengekalkan Kestabilan dan pergerakan badan.

Kestabilan sesebuah badan adalah datang dari kaki yang kuat. Jadi squat seperti yang kita tahu mampu menguatkan kekuatan kaki dan menjadikan kaki bergerak dengan baik seperti melakukan lompatan atau larian dan sebagainya.

Ini yang saya katakan kepada anda bahawa squat adalah senaman pemudah dan pemula.

Saya nak anda fikirkan sejenak senaman apa yang tidak memerlukan kaki?

Pasti tidak akan jumpa kerana semua senaman sebenarnya melibatkan kaki dan kestabilan badan. Anda mahu mengangkat bench press sebanyak 80kg misalnya. Tapi anda perlu tahu rahsia bench press adalah pada tolakan kecil dari kaki anda. Dengan kata lain anda akan menekankan kaki kebawah supaya tolakan tangan lebih mampu.

Contoh yang lain, anda melakukan dumbell curl. Walaupun pada dasarnya anda akan lihat bahawa senaman ini banyak menggunakan bahagian atas badan, namun anda perlu tahu jika kaki anda tidak kuat anda mungkin akan bermasalah ketika mengangkat berat yang maksima nanti. Dengan kekuatan kaki yang baik, pergerakan dan kestabilan badan anda semasa melakukan senaman ini akan lebih meningkat.

Jadi secara kesimpulannya, squat adalah senaman yang perlu anda lakukan dahulu sebelum anda melakukan senaman-senaman lain. Anda lakukanlah sedikit eksperimen di mana anda lakukan senaman tanpa squat dan senaman berserta squat. Pasti ada perbezaan yang ketara. Kualiti pada senaman yang lain juga anda akan turut rasa. Senaman yang dulunya payah, akan menjadi mudah.

Entri Oleh: Fakhrul Islam