Nak Makan Berapa Kali Sehari?

Ada yang tanya Admin, nak bina badan kena makan banyak atau kena makan kerap? Persoalan ini membuatkan ramai terkeliru untuk membina badan. Lagipun, pemakanan adalah komponen paling atas sekali, dan jika tak jaga makan, susah nak bina otot bagi besar.

 

Dia jadi keliru sebab ramai yang bagi nasihat berbeza-beza. Ada yang suruh makan banyak sekali makan, ada suruh makan kerap. Ada yang kata kalau makan banyak sekali makan, susah badan nak naik. Ada pula yang kata kalau kerap makan lebih sesuai untuk nak kurus.

 

Jadi, yang mana satu betul, kena makan banyak atau kena makan kerap? Jawapannya…

 

Bergantung Jumlah Kalori

Kalau anda baru nak mula bina badan, masa ataupun kekerapan pemakanan bukanlah menjadi prioriti anda. Sekarang, apa yang ada kena fokus dalam mendapatkan kalori yang cukup yang diperlukan oleh badan anda. Kalau itu pun tak boleh dilunaskan, tak perlulah fikir yang lain pula.

 

Pucuk pangkal yang anda kena pegang untuk bina badan adalah berkaitan keluar masuk kalori, di mana kalau anda nak tambah berat dan saiz otot, anda kena ambil kalori lebih banyak daripada keperluan badan, manakala untuk turunkan berat pula, ia adalah terbalik.

 

Masa makan, kekerapan makan, dan lain-lain tidaklah mendatangkan impak yang begitu besar. Kalau anda makan kerap tapi tak cukup kalori pun tiada guna. Itu untuk bulking, manakala untuk cutting, makan kurang pun belum tentu maksudnya kalori anda ambil rendah. Kalau makan sekali sehari tapi makan pizza large 2 kotak, macam mana?

 

Dalam pemakanan, ada lagi anda kena kira iaitu berkaitan makronutrien dan mikronutrien, tetapi yang paling asas sekali adalah berkenaan kalori. Mahirkan yang itu, maka mudah untuk anda kawal turun naiknya berat badan.

 

Entri oleh: Aiman Radzi (@TheTherabeast)

Komen Facebook