Kalau orang yang nak kurus, selalu diberikan nasihat supaya tidak makan malam. Takut nanti makanan yang dimakan bertukar menjadi lemak. Adakah ini kenyataan yang boleh diterima pakai melalui pandangan sains? Kita tidak boleh ikut membuta tuli sahaja. Mesti ada sebab kenapa orang menasihatkan supaya kita tidak makan malam.
Kenyataan Lebih Tepat
Sebenarnya, bukannya anda tidak boleh makan pada waktu malam. Boleh sahaja, jadi kita tukarkan sedikit kenyataan tadi supaya lebih praktikal, iaitu “elakkan daripada memakan lewat malam”. Tetapi, makan lewat malam pun sebenarnya tidak menggemukkan. Jadi, kenapa orang bagi nasihat sebegitu?
Makan malam tidak bersalah dalam hal menggemukkan badan. Yang menjadi salah adalah makan berlebihan pada waktu malam. Biasa, yang makan lewat malam adalah sebab mereka berlapar pada petang dan siang hari. Waktu makan mereka tidak teratur, jadi mereka membalas dendam kepada makanan pada waktu malam!
Makanlah Pada Waktu Bila-Bila
Tak kisah anda nak makan waktu siang, waktu malam, waktu tengah malam, waktu lepas bangun Tahajud, yang paling penting adalah anda perlu kira jumlah kalori yang anda makan seharian dan secara mingguan. Kalori ada dalam semua makanan dan minuman yang kita ambil. Anda kena cari sendiri jumlah kalori dalam makanan yang anda sedang makan.
Kemudian, anda kena cari pula keperluan kalori seharian untuk anda turunkan lemak badan dan bakar lemak. Maksudnya, anda kena makan dalam julat kalori bagi badan anda. Makan sekali, makan dua kali, makan siang, makan malam, selagi anda dapat disiplinkan diri mengikut jumlah kalori tersebut, anda akan dapat manfaatnya (membakar lemak atau membina otot).
Makanlah Ikut Keperluan Kalori
Diet pelik-pelik ataupun rumit adalah tidak perlu bagi individu biasa yang tiada sebarang rancangan untuk memasuki pertandingan-pertandingan besar. Cukup dengan mengawal pemakanan sahaja (makan secara seimbang dan sihat) boleh memberikan perubahan yang drastik kepada bentuk badan anda. Yang penting, anda tahu apa anda makan dan berapa banyak kalori anda sudah makan.