Anda nak bersenam semasa berpuasa? Tak tahu bila masa sesuai untuk workout? Mari kita cuba selami perkongsian pendek ini berkaitan masa senaman yang sesuai dilakukan semasa bulan puasa tahun ini (dan tahun-tahun akan datang):
1- Selepas berbuka
Anda baru lepas makan, jadi anda dah boleh minum air (itu yang penting). Nak bersenam pun dah tak perlu risau tentang dahaga. Tapi itulah, anda baru sahaja lepas makan. Perut pun masih penuh, masa pula tak banyak antara Maghrib dengan Isya’. Kalau anda mempunyai disiplin tinggi, buat HIIT selama 30 minit sudah memadai.
2- Selepas Tarawikh
Kalau tadi anda rasa seperti kekurangan masa, selepas tarawikh pula membenarkan anda untuk bersenam dengan keluasan masa yang lebih sedikit. Kalau anda nak bersenam santai pun boleh, tetapi perlu beringat juga. Sesetengah orang apabila bersenam malam, akan rasa susah tidur. Kalau tidur lewat, nanti tak bangun sahur pula.
3- Sebelum sahur
Hampir mustahil untuk melakukan senaman pada masa ini, tapi ia dilakukan sesetengah individu yang betul-betul mahu bersenam. Kalau nak buat macam ini, kena pastikan rehat cukup dan benar-benar berdedikasi. Jangan lupa lakukan solat sunat dahulu selepas bangun tidur.
4- Semasa berpuasa
Kalau anda nak workout semasa dalam keadaan berpuasa, dicadangkan anda workout sebelum berbuka (dalam 60 minit sebelum). Ketika ini, badan memang terasa letih tetapi kebanyakan orang boleh lakukannya. Lagipun, daripada anda tidur petang tunggu berbuka, baik buat sesuatu yang berfaedah, bukan?
Semuanya bergantung pada diri sendiri. Apa yang mudah bagi anda, teruskan beramal dengan rutin tersebut. Tiada cara salah dan tiada cara betul, hanya cadangan semata-mata.
Penulis: Aiman Radzi