IMG_1500
Bila kali terakhir anda makan tadi? Kalau anda sudah makan lebih daripada 3-4 jam sebelum anda membaca artikel ini, itu masih dikira biasa. Tetapi, kalau baru lepas makan dalam sejam lebih dan sekarang perut pula berkeroncong, mungkin ada sesuatu yang tidak kena!

Mungkin anda terfikir… “Aku makan cepat sangat hadam ke?” ataupun anda masih tidak cukup makan. Jom kita lihat beberapa kemungkinan yang berlaku:

Anda Tidak Minum Air Yang Cukup

Badan kita memerlukan jumlah air yang banyak untuk berfungsi. Tahukah anda, badan kita majority terdiri daripada air. Malah, dalam otot kita pun sebenarnya dipenuhi air. Bagi individu biasa, anda perlu minum:
1. Perempuan: 12 cawan air
2. Lelaki: 16 cawan air

Terasa banyak? Orang yang bersenam mengeluarkan banyak air ketika berlatih. Sebab iu kita perlukan air yang banyak untuk menggantikan semula jumlah air yang terbuang.

Kenapa air yang sikit buat kita terasa lapar?

Pertamanya, air memberikan kita rasa lebih kenyang. Apabila anda minum air, perut anda mengembang sekali gus menghantar isyarat kepada otak yang anda sudah “penuh”.

Untuk menangkis masalah lapar anda, cuba minum secara kerap. Simpan botol air bersama anda dan bila rasa lapar sahaja, teguk air sedikit untuk “menipu” otak yang anda sudah isikan perut anda dengan “makanan”.

Anda Tidak Makan Serat Yang Cukup

Serat adalah komponen pemakanan yang sering terabai dalam kehidupan seharian kita. Sayur-sayuran, buah-buahan, dan makanan kaya serat lain tidak mendapat perhatian seiring dengan pemakanan bina badan seperti telur, daging, ayam, ikan, nasi, dan lain-lain.

Antara gentian terbaik untuk tingkatkan pengambilan serat adalah menggantikan nasi putih kepada nasi perang. Jumlah serat dalam nasi perang adalah lebih tinggi berbanding nasi putih. Rasanya tidak jauh beza pun kalau anda sudah biasa nanti!

Anda Tidak Makan Sayur

Walaupun di atas menyatakan tentang serat, pengambilan sayur-sayuran haruslah ditekankan jika anda berasa anda ada masalah kelaparan dan ingin menurunkan berat badan. Ingat, serat memberikan perasaan kekenyangan apabila diambil dalam kuantiti yang mencukupi. Makan sayur banyak adalah baik untuk mengurangkan berat badan, kerana kuantiti kalorinya yang sedikit meskipun jumlah sayur anda ambil adalah besar.

Sawi, lobak merah, broccoli, bunga kubis, lada, ubi-ubi, dan macam-macam lagi! Mulai sekarang, anda perlu tukar jajan daripada memakan keropok kepada memakan sayur-sayuran sebagai snek untuk mengawal berat badan.

Tip: Kalau rasa susah untuk memakan sayur, anda boleh masukkan sayur ke dalam masakan lain seperti membuat telur dadar berserta sayuran, roti sandwich, ataupun menjadikan mereka seperti smoothie (dikisar bersama buah).

Rujukan:
1. Salter P. (27 February 2017), 3 Reasons You Always Feel Hungry, Bodybuilding.com, [accessed online] https://www.bodybuilding.com/content/3-reasons-you-always-feel-hungry.html [accessed on 19 March 2017].

Penulis: Aiman Radzi (@TheTherabeast)