Mengapa berat anda sentiasa berubah-ubah? Adakah ia normal? Bagi mereka yang sedang cuba menurunkan berat, pasti timbul sedikit rasa kecewa bukan? Namun hakikatnya perkara ini sesuatu yang normal dan kita semua pernah mengalaminya. Tetapi persoalannya ialah, mengapa ia berlaku?

Sodium (garam)

Diet bersodium tinggi akan menyebabkan penahanan air (water retention) dalam badan. Jadi disebabkan berat air, berat badan akan naik. Kurangkan makanan yang diproses, makanan bertin, sos tambahan dan makanan sejuk beku. Jangan lupa juga untuk mengurangkan garam dalam masakan dan cuba gantikan dengan herba dan rempah ratus sebagai bahan perasa.

Karbohidrat

Bagi setiap gram karbohidrat yang diambil, tubuh anda akan menyimpan 3 gram air sebagai simpanan tenaga. Maka sebab itulah mengambil karbohidrat yang berlebihan juga boleh menyebabkan berat air. Dan sekali lagi, kebanyakan ‘refined carbohydrate’ mengandungi sodium yang tinggi.

Berat makanan

Percaya atau tidak, berat makanan pun mempengaruhi berat badan anda. Kajian menunjukkan bahawa secara puratanya manusia memakan antara 3-5 paun (1.4-2.3 kg) setiap hari. Cecair dalam makanan berkuah atau sup juga turut menyumbang kepada pertambahan berat anda.

Senaman

Bersenam akan mengeluarkan peluh dan anda akan kehilangan berat air. Dianggarkan bahawa setiap individu akan kehilangan 25-45 auns (0.7-1.3 kg) air setiap 1 jam semasa bersenam—lebih-lebih lagi senaman berintensiti tinggi. Otot juga akan menyimpan air dan menggunakannya semasa proses pemulihan terutamanya selepas latihan kekuatan otot dan angkat berat.

Ubat-ubatan

Sesetengah jenis ubat juga boleh menyebabkan berat naik. Ada yang meningkatkan selera makan, ada juga yang menyebabkan penahanan air dalam badan, bahkan ada yang memberi kesan terhadap bagaimana tubuh anda menyerap dan menyimpan glukosa—dan akhirnya lemak mulai berkumpul di bahagian pinggang dan perut. Sekiranya terdapat perubahan pada berat badan selepas mengambil ubat tertentu, dapatkan khidmat nasihat daripada doktor.

Kitaran haid

Mungkin anda sudah tahu bahawa perubahan hormon dalam badan sebelum dan selepas haid menjadi punca penahanan air dalam badan dan akhirnya berat naik. Namun satu kajian mendapati bahawa perubahan hormon ovari (estradol dan progesteron) sebelum dan selepas kitaran haid tidak menyebabkan penahanan air dalam badan, sebaliknya ia dikaitkan dengan perubahan tabiat pemakanan—makan berlebihan, mengidam makanan tertentu. Dalam fasa ini, anda akan cenderung untuk makan lebih banyak, mengidam makanan yang bergaram tinggi, makanan berlemak dan semua ini akan menyebabkan kalori berlebihan dan penahanan air. Sebab itulah berat boleh naik.

Bilakah berat akan kembali normal?

Ada banyak sebab mengapa berat sentiasa berubah-ubah. Biasanya perubahan tersebut berkait rapat dengan berat air dan fungsi tubuh. Jika berat berubah sedikit sahaja, anda tidak perlu risau. Walau bagaimanapun, sekiranya berat naik atau turun secara berterusan lebih daripada 5-7 hari, mungkin kerana komposisi otot anda meningkat atau boleh jadi masalah kesihatan juga. Perubahan berat badan secara mendadak biasanya bukan petanda yang baik. Jadi apabila ianya berlaku, rujuk kepada doktor anda dengan segera.

Entri – Tini Lorna Lim (FB Page: Tini Lorna)