Mitos Senaman vs Realiti

Terdapat banyak mitos senaman yang sangat merugikan jika dituruti tanpa usul periksa.  Yang berikut merupakan sebahagian kecil daripadanya.

 

Mitos #1 – Senaman Berjalan Kaki Kurang Efektif

Realiti: Berjalan kaki merupakan senaman yang efektif dalam meningkatkan tahap kesihatan bagi semua golongan individu.

Senaman berjalan kaki sangat bermanfaat dari segi fizikal, mental dan emosi. Bahkan, berjalan kaki adalah antara senaman yang tertua di dunia. Hippocrates, bapa perubatan moden, pernah berkata “Walking is a man’s best medicine.” Menurut Harvard Health, berjalan kaki meningkatkan kesihatan kardiovaskular dengan menurunkan tahap kolesterol dan tekanan darah. Selain itu, ia juga mengurangkan risiko diabetes, obesiti, kemurungan serta dementia.

 

Mitos #2 – Met-Con (Metabolic Conditioning) Hanya Terdiri Daripada Senaman Berat Sahaja

Realiti: Setiap senaman dan pergerakan boleh mempengaruhi proses metabolik.

Sebenarnya, setiap senaman atau pergerakan yang kita lakukan, secara teknikalnya ialah metabolic conditioning juga. Walaupun hanya berjalan kaki atau buat regangan ringan, tubuh akan melalui proses metabolik yang akan mencetuskan perubahan di dalam tindak balas hormon. Semua proses ini menggunakan tenaga dan membakar kalori.

 

Mitos #3 – Minuman Sukan Adalah Minuman Post-Workout Yang Ideal

Realiti: Air biasa pun sudah memadai.

Hakikatnya, mereka yang bersenam kurang daripada 60 minit dalam intensiti rendah-sederhana hanya memerlukan air biasa. Tambahan pula, sesetengah minuman sukan mengandungi gula yang tinggi, jadi dikhuatiri akan sabotaj matlamat berat badan. Walau bagaimanapun, melakukan senaman berintensiti tinggi melebihi 60-90 minit – biasanya golongan atlet – akan memerlukan minuman sukan. Begitu juga apabila kita bersenam dalam cuaca atau altitud yang ekstrem.

 

Mitos #4 – Senaman Memerlukan Peralatan Yang Mahal

Realiti: Anda masih boleh bersenam walaupun tanpa sebarang peralatan senaman.

Kita boleh menfaatkan tarikan graviti di dalam rutin senaman. Lakukan bodyweight exercise dengan melawan graviti. Jika perlukan bebanan tambahan, botol air, buku, tin serta haiwan kesayangan anda juga boleh digunakan. Senaman berjalan kaki atau berjoging pula hanya memerlukan sepasang kasut sukan.

 

Entri: Tini Lorna Lim

Komen Facebook