Nak Buka Kipas Atau Tutup Semasa Workout?

Jangan hairan, persoalan kipas nak buka atau tidak pun boleh jadi perbalahan. Saya sendiri pernah tengok ada yang bergaduh di gym sebabkan kipas. Yang seorang nak workout dalam panas tanpa buka kipas, yang seorang nak pengudaraan. Jadi, ada kebaikan atau tidak workout dalam panas dan perlukah anda workout begitu?

 

Nampak remeh, tapi itulah dia masalah yang pernah (dan kerap) timbul. Sedihnya, sampai menyebabkan pergaduhan. Kenapa anda nak bergaduh pasal angin dalam gym? Mari kita bincangkan sedikit perihal ini.

 

Bagi mereka yang suka workout dalam keadaan tidak membuka kipas, hanya satu sahaja alasan yang boleh diterima iaitu untuk mengelakkan mengantuk. Kalau mereka kata nak berpeluh lebih supaya boleh bakar lemak lebih banyak, itu hanya auta semata-mata. Berpeluh bukan petanda anda membakar lemak.

 

Banyak kali telah diajarkan, kalau anda nak berpeluh untuk membakar lemak, duduk sahaja dalam kereta dan tutup pendingin hawa. Jangan lupa parking kereta di tengah lot kosong pada waktu tengahari. Nescaya, anda akan lencun macam baru lepas mandi. Tapi, kurus atau tidak (anda rasa)?

 

Berpeluh adalah satu mekanisme badan untuk menyejukkan kembali dan mengembalikan suhu badan ke paras normal. Ya, badan pun berkata yang ia sedang berada dalam keadaan overheated. Sebab itulah ia berpeluh. Bukannya lemak anda cair!

 

Pengudaraan amatlah penting semasa anda workout untuk mengelakkan daripada haba/bahang gym yang terlampau. Ini boleh menyebabkan beberapa individu yang tidak biasa terjatuh pitam. Bukan sahaja haba gym, malah bau juga boleh mengganggu. Anda perlukan pengudaraan yang sempurna untuk mengelakkan risiko sebegini.

 

Tak ada jadi lembik kalau ada yang membuka kipas di kawasan anda workout, dan tak perlu memaki hamun sampai bergaduh kalau anda tak mahu kipas terbuka. Tanya sahaja kepada pembuka kalau dia tak kesah untuk workout dalam keadaan panas. Jika dia kata boleh, tutup sahaja kembali. Jika jawapan dia sebab tak tahan panas, minta perlahankan kipas dan bukan buka paling laju.

 

Ingat, faedah paling utama anda tak buka kipas hanyalah untuk mengelakkan daripada rasa mengantuk. Tetapi, kalau dah rasa tak selesa dengan bau dan juga berpeluh yang teramat banyak, buka sahaja kipas. Takkan tersekat perjalanan bakar lemak anda!

Komen Facebook