NEAT & EPOC: Senjata Rahsia Turunkan Berat Badan

Bagi yang sedang cuba turunkan berat, pasti banyak cara yang telah dilakukan bagi mencapai matlamat tersebut. Sudah tentu kita akan menjaga pemakanan dan bersenam, bukan? Sebenarnya tubuh akan membakar kalori secara rahsia – setiap masa! Artikel ini akan menjelaskan secara ringkas mengenai dua senjata rahsia yang akan membantu anda mencapai matlamat berat badan dengan jayanya.

 

Kita mulakan dengan Non-Exercise Activity Thermogenesis (NEAT). Mungkin namanya kedengaran rumit sedikit tetapi secara ringkasnya, ia merujuk kepada tenaga yang digunakan dalam segala jenis kegiatan yang kita lakukan seperti berdiri, berjalan, menaip, membersihkan rumah, berkebun dan sebagainya – kecuali makan, tidur dan bersenam. Setiap pergerakan kita akan membakar kalori dan turut menyumbang kepada penurunan berat badan.

 

Terdapat satu kajian yang menentukan bagaimana tahap aktiviti yang berlainan menyumbang kepada berat badan yang berbeza. Kajian yang melibatkan 20 individu ini membahagikan subjek kepada dua kumpulan iaitu:

  • Purata BMI 23 (lean) – 10 orang
  • Purata BMI 33 (mildly obese) – 10 orang

Hasil kajian tersebut adalah:

  • Kumpulan (obese) duduk sebanyak 164 minit lebih lama daripada kumpulan (lean).
  • Kumpulan (lean) berdiri sebanyak 153 minit lebih lama daripada kumpulan (obese).
  • Secara puratanya, kumpulan (lean) membakar sebanyak 350 kalori setiap hari (bersamaan dengan 36 paun dalam setahun) dengan berdiri dan berjalan lebih banyak setiap hari. Walaupun kedua-dua kumpulan tidak melakukan apa-apa senaman, kumpulan (lean) membakar lebih banyak kalori kerana mereka lebih banyak bergerak.

 

Jadi, bagaimanakah cara untuk memaksimumkan NEAT? Banyakkan bergerak! Di rumah pun anda boleh kekal aktif. Contohnya, banyakkan berdiri semasa membaca buku, menonton televisyen, online dan sebagainya. Atau bergerak di sekitar rumah (berdiri pun boleh) semasa menjawab panggilan telefon. Yang penting, banyakkan pergerakan setiap masa.

 

Lagi satu cara ‘rahsia’ tubuh kita membakar kalori adalah melalui Excess Post-Exercise Oxygen Consumption (EPOC) atau lebih dikenali sebagai “After-Burn”. EPOC juga disebutkan sebagai “hutang oksigen” kerana ia merujuk kepada jumlah oksigen yang diperlukan untuk mengembalikan tubuh kepada keadaan yang asal (normal). Ia juga akan menjelaskan bagaimana tubuh anda  membakar kalori secara berterusan walaupun sesi senaman telah tamat.

 

Dalam sebuah artikel yang bertajuk Exercise After-Burn: Research Update, penulisnya, Dr. Len Kravitz dan Chantal A. Vella memberikan ulasan mengenai beberapa kajian yang berkaitan dengan after-burn. Secara umumnya, mereka mendapati bahawa jumlah pembakaran kalori selepas aktiviti kardio yang berdurasi 30-60 minit termasuklah berbasikal dan treadmill (kira-kira 80% daripada kadar denyutan maksimum), adalah dalam lingkungan 30-120 kalori. Tetapi, bukan senaman kardio sahaja yang menghasilkan after-burn. Latihan HIIT dan latihan bebanan juga tidak kurang manfaatnya. Namun, hasilnya mungkin akan berbeza mengikut jantina dan jenis senaman. Tetapi yang pastinya, senaman berat dan berdurasi panjang akan menjanjikan lebih banyak after-burn.

 

Entri: Tini Lorna Lim

Komen Facebook