Nisbah pinggang ke pinggul, juga dikenali sebagai Waist to Hip Ratio (WHR), membandingkan ukuran pinggang dan pinggul di dalam unit inci. WHR juga merupakan salah satu cara yang digunakan bagi menganggarkan risiko penyakit kardiovaskular. Ia tidak memerlukan kos pemeriksaan yang mahal dan anda boleh melakukannya sendiri di rumah. Selain itu, anda juga boleh memantau tahap kemajuan program berat badan dengan menggunakan kaedah ini.
Bagimanakah Caranya?
- Pertama sekali, anda memerlukan pita pengukur dan kalkulator untuk pengiraan. Lakukan semua pengukuran dalam unit inci.
- Pastikan anda tidak memakai pakaian yang tebal agar tidak mengganggu proses mengukur nanti.
- Cara mengukur pinggang: Ukur bahagian yang paling lebar, iaitu separas dengan pusat anda. Setelah pita pengukur diletakkan ke posisi yang betul, tarik nafas dan ambil ukuran ketika anda menghembus nafas.
- Cara mengukur pinggul: Berdiri tegak, kaki dirapatkan dan ambil ukuran bahagian paling lebar.
- Cara mengira nisbah: Bahagikan ukuran pinggang kepada ukuran pinggul. Menurut National Institute of Health (NIH), nisbah WHR yang melebihi 1.0 menunjukkan risiko penyakit jantung yang lebih tinggi. Nisbah yang sihat bagi wanita ialah ≤ 0.80, manakala lelaki pula ≤ 0.90.
Contoh Nisbah Pinggang ke Pinggul
Untuk memahami penggunaan nisbah ini, lihat contoh senario yang berikut:
Nisbah pinggang ke pinggul – Gadis A
- Ukuran pinggang: 30 inci
- Ukuran pinggul: 38 inci
- 30 inci (pinggang)/38 inci (pinggul) = 0.78
Oleh itu, nisbah WHR bagi Gadis A berada di julat yang normal.
Katakanlah Gadis A mengalami kenaikan berat badan dengan lemak perut yang bertambah:
- Ukuran pinggang: 39 inci
- Ukuran pinggul: 38 inci
- 39 inci (pinggang)/38 inci (pinggul) = 1.02
Kenaikan berat badan Gadis A kini meletakkannya di dalam julat yang berbahaya kerana risiko menghidap penyakit jantung kian meningkat. Jika beliau berusaha menyingkirkan lemak dan menurunkan berat badan, nisbah WHR juga akan turut berkurangan. Lihat di sini.
- Ukuran pinggang: 32 inci
- Ukuran pinggul: 38 inci
- 32 inci (pinggang)/38 inci (pinggul) = 0.84
Walaupun nisbah WHR Gadis A masih melebihi julat yang sihat, namun usaha beliau sedang menunjukkan hasil yang baik kerana nisbah tersebut semakin menghampiri julat normal.
Akhir kata:
Saiz pinggang dan pinggul anda bukanlah penentu bahawa anda akan mendapat penyakit jantung. Nisbah tersebut digunakan oleh pakar perubatan sebagai garis panduan bagi meramalkan risiko penyakit kardiovaskular dan lain-lain. Namun anda juga boleh menjadikan angka tersebut sebagai sumber motivasi ke arah gaya hidup yang lebih sihat.
Entri: Tini Lorna Lim