Penggunaan Steroid Dalam Kalangan Bina Badan

Penggunaan steroid dalam kalangan ahli bina badan adalah benda biasa sekarang. Boleh dikatakan, hampir keseluruhan (bukan semua) atlet bina badan terutamanya pemenang-pemenang pertandingan menggunakannya. Sebenarnya, ini bukanlah perkara pelik lagi. Yang menjadi kerajaan ramai ialah apabila orang-orang yang baru berlatih terus menggunakan steroid untuk mempercepatkan proses bina badan mereka.

 

Ada juga daripada kalangan atlet ini mengatakan bahawa mereka status natural dan ini juga ibarat provokasi kepada atlet lain. Bukankah ia dikira menipu kalau anda menggunakan barang tetapi mengakui tidak? Ini juga memberi harapan palsu kepada orang yang baru mula berlatih.

 

Realiti bina badan memang banyak menggunakan steroid, tetapi ini tidak bermakna anda tak boleh buat badan tanpa menggunakan steroid. Cuma, hasilnya memang tidak akan dapat menandingi mereka yang menggunakan steroid secara betul-betul. Ada yang kena strok tapi badan masih tak menjadi, kenapa? Sebabnya, mereka tak jaga ke perkara asas dalam bina badan iaitu pemakanan, latihan, dan rehat. Mereka ingat, pakai steroid terus menjadi.

 

Tetapi itulah, yang menyedihkan apabila budak-budak baru terus pakai steroid atas ajakan rakan lain ataupun galakan daripada yang kononnya bergelar otai. Kalau betul lah mereka otai, mereka memang tidak akan sarankan steroid selagi mana asas anak buah mereka belum cukup kuat.

 

Beringat juga, steroid adalah sesuatu yang mendatangkan banyak kesan negatif kepada kesihatan kita. Apabila digunakan secara tidak berilmu, ini mempercepatkan lagi dan memburukkan lagi kesan negatif yang sedia ada. Kesannya boleh datang dalam bentuk fizikal mahupun mental. Kalau dia banyak mendatangkan kesan negatif, kenapa ramai menggunakannya? Mudah, untuk memenangi wang hadiah dalam pertandingan, memenangi gelaran “juara”, dan memenangi pujian daripada orang lain.

 

Jika anda bukan atlet yang boleh memenangi hadiah tinggi-tinggi, maka fikir-fikirkanlah nisbah risiko kepada habuan penggunaan steroid pada diri anda. Jika anda bercita-cita untuk sampai ke peringkat Mr Olympia, maka itu adalah cerita lain.

 

Entri: Aiman Radzi (@TheTheraBeast)

Komen Facebook